'Tak mengapa ada kelulusan SRP, janji cakap benar'

Hassan Abdul Karim
Hassan Abdul Karim
A
A
A
KULAI - [DIKEMASKINI] Individu yang terpalit dengan sesuatu dakwaan mesti diberi ruang untuk memberi jawapan dan membela diri.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, sesuatu tuduhan itu boleh berlaku, tetapi pihak yang didakwa perlu diberi ruang untuk memberikan keterangan.

"Tuduhan itu boleh berlaku, tetapi kita mesti bagi ruang kepada pihak yang didakwa itu memberi jawapan, membela diri, memberi keterangan," katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka dan Penyerahan Sumbangan Tahun Baharu Cina 2019 di Dewan Serbaguna Taman Putri, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas dakwaan yang tular di laman sosial membabitkan beberapa pemimpin PH termasuklah di Johor, yang memiliki ijazah 'palsu'.

Hassan berkata, dalam Malaysia Baharu dan dunia digital, kebebasan untuk media dan orang awam menyiasat adalah mustahak.

Katanya, beliau melihat tujuan penyiasatan itu baik supaya akhirnya soal integriti akan dapat diperkukuhkan di negara ini.

"Saya punya pandangan senang sahaja, iaitu kalau 'real property' tanah, kita tengok kepada 'title' tanah itu, geran tanah itu. Sama ada 'fake' atau tidak. Sama ada geran tanah itu tulen atau palsu, kita boleh 'check' dengan pejabat tanah.

"Dan 'intelectual property', saya melihat sijil 'certificate degree' ini 'intelectual property'. Maknanya boleh disemak dengan universiti berkenaan," katanya.

Pengerusi PKR Johor itu berkata, secara peribadi pendedahan seumpama itu ada hikmahnya iaitu rakyat mahu pemimpin selaku 'public figure' bercakap benar.

Artikel Berkaitan:

"Saya tak ada masalah kalau menteri ke apa, dia hanya ada tingkatan tiga sahaja atau ada kelulusan SRP atau PMR, LCE, tak ada masalah. Cakap yang benar. Tapi jangan benda yang tak benar, tak baiklah.

"Sebab kita dipanggil 'public figure'. Bila kita sudah jadi 'public figure' tak ada benda yang 'private' lagi. Rakyat berhak untuk 'scrutinize' kita," katanya.

Mengulas lanjut, katanya, dari segi amalan perundangan, pihak yang menuduh perlu membuktikan tuduhan itu adalah benar.

"Bukannya pihak kena tuduh. Yang 'accuse' nak beritahu dia di pihak yang benar. Tapi memang sebaiknya siapa yang dituduh 'nothing to hide'. Betul tak? 'Explain' lah apa yang sebenar," katanya.

Selain itu, Hassan berkata, dengan dunia tanpa sempadan pada masa kini, semua pihak yang berminat boleh membuat carian atau semakan secara atas talian.

"Sekarang mudah sahaja. Digital kan. 'Check' universiti 'website'. (tetapi) sebaiknya terus menjawablah. 'We are democratic country'. Maknanya kena hadapi," katanya.

Beliau turut mengakui sekiranya dakwaan tersebut benar, ia akan merosakkan imej.

"Maknanya kita (PH) menjanjikan pembaharuan dan masyarakat baharu. Integriti. Kita kata pihak kerajaan yang lama dulu, begini, begini, begini. Tapi kita mesti (tunjuk) contoh yang baiklah. Jika sebaliknya, kita gagal.

"Persepsi adalah sebahagian daripada politik. Tapi adalah lebih baik pihak yang (dituduh), tampil ke hadapan dan memberi penjelasan. Masyarakat berhak untuk mendapatkan penjelasan. Berterus terang," katanya.