Lapan kes positif Covid-19 dikesan di SKSS1

SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu ditutup selama 14 hari selepas terdapat lapan kes positif Covid-19 dikesan di situ pada Jumaat.
SK Sultan Sulaiman 1, Kuala Terengganu ditutup selama 14 hari selepas terdapat lapan kes positif Covid-19 dikesan di situ pada Jumaat.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sekolah Kebangsaan (SK) Sultan Sulaiman 1 (SKSS1) di sini, ditutup selama 14 hari ekoran terdapat lapan kes positif Covid-19 dikesan di situ.

Kesemua aktiviti dan pengurusan dalam kawasan sekolah ditangguhkan bermula 22 Januari hingga 5 Februari depan bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Nor Azimi Yunus berkata, kesemua kes positif Covid-19 yang dikesan itu disahkan pada Jumaat.

"Pihak kesihatan telah mengesan lapan kes positif Covid-19 di SKSS1 yang telah disahkan pada 22 Januari 2021.

"Sehubungan itu, premis ini diarahkan tutup selama 14 hari bermula hari ini bagi membolehkan proses sanitasi dilakukan bagi mengelak perebakan penyakit," katanya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata, arahan penutupan itu di bawah Seksyen 18 (1)(d) Akta Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Dalam pada itu, Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu telah merekodkan pertambahan 73 kes sembuh dan 178 kes baharu menjadikan terdapat 506 kes Covid-19 aktif di Terengganu pada Jumaat, dengan rekod keseluruhan sebanyak 1,224 kes.

Sebanyak 505 kes aktif berada dalam keadaan stabil dan diberikan rawatan biasa manakala satu kes menerima rawatan di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) tanpa alat bantuan pernafasan.

Artikel Berkaitan: