213 Pusat Penilaian Covid-19 ditubuhkan

Sebanyak 213 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) ditubuhkan di seluruh negara.
Sebanyak 213 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) ditubuhkan di seluruh negara.
A
A
A

PUTRAJAYA - Sebanyak 213 Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) ditubuhkan di seluruh negara bagi mengendalikan penilaian pesakit yang menjalani rawatan di rumah.

Menteri Kesihatan, Datuk Dr Adham Baba dalam kenyataannya pada Jumaat berkata, daripada jumlah CAC tersebut, 40 di Sarawak, 30 di Pulau Pinang, dan 25 di Sabah.

Katanya, Selangor mempunyai (19) CAC, Kelantan (14), Terengganu (13), Perlis (11), Kedah (11), Perak (11), Pahang (10), Johor (tujuh), Negeri Sembilan (lima), Melaka (lima), Kuala Lumpur (satu), Putrajaya (satu) dan Labuan (1).

"CAC akan mengklasifikasikan tahap pesakit Covid-19 untuk menentukan pengurusan pesakit yang seterusnya, termasuk kelulusan rawatan di rumah.

"Petugas CAC kemudian akan memantau dan menilai pesakit di rumah menggunakan Home Assessment Tool (HAT)," katanya.

Beliau berkata, pasukan CAC juga akan bertindak mengenal pasti dan menilai pesakit yang berkemungkinan menjadi lebih teruk.

"CAC turut mengenal pasti pesakit yang memerlukan rujukan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 (PKRC) atau hospital iaitu pesakit kategori satu dan dua yang tidak sesuai untuk ditempatkan di rumah," katanya.

Adham berkata, secara amnya, satu daerah mempunyai satu CAC dan ada kemungkinan wujudnya dua atau lebih bergantung kepada bilangan pesakit yang diuruskan.

Artikel Berkaitan:

"Setiap CAC di peringkat daerah diketuai oleh seorang koordinator," katanya.

Ujarnya, orang ramai yang mempunyai keperluan boleh menghubungi CAC melalui nombor telefon yang akan dinyatakan oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) masing-masing.

"Kementerian Kesihatan Malaysia menerusi pelbagai peringkat dan saluran akan memaklumkan langkah-langkah seterusnya yang mesti dipatuhi dan diamalkan oleh pesakit sepanjang tempoh rawatan di rumah," katanya.