PKPB: 29 individu ditangkap akibat ingkar

Adzli membuat pemeriksaan ke atas penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya di Jalan Bedong-Sungai Petani, tengah malam tadi sejurus Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan hari pertama di Kedah.
Adzli membuat pemeriksaan ke atas penunggang motosikal yang melalui sekatan jalan raya di Jalan Bedong-Sungai Petani, tengah malam tadi sejurus Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan hari pertama di Kedah.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 29 individu ditahan di daerah Kuala Muda antaranya di pusat hiburan dan kedai gunting rambut selama tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Bersyarat yang dikuatkuasakan di Kedah bermula pada 13 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda Asisten Komisioner Adzli Abu Shah berkata, tangkapan pertama membabitkan enam individu termasuk empat warga Indonesia yang merentas negeri pada hari pertama PKP Bersyarat, ketika pemeriksaan dilakukan di sekatan jalan raya (SJR) kira-kira jam 1.15 pagi di Gurun, Kedah.

Menurutnya, tangkapan kedua dibuat pada 19 Januari lalu membabitkan 19 individu warga tempatan termasuk pemilik pusat hiburan serta pelanggan yang sedang leka berhibur di premis yang terletak di Taman Mutiara Indah, kira-kira jam 1 pagi.

"Tangkapan itu membabitkan 15 lelaki dan empat perempuan berusia dari 25 hingga 45 tahun yang jelas ingkar PKPB di mana pusat hiburan tidak dibenarkan beroperasi," katanya kepada pemberita ketika meninjau SJR hari pertama pelaksanaan PKP, di Bedong tengah malam tadi (Jumaat).

Beliau berkata, tangkapan ketiga dilakukan terhadap empat lelaki berusia 19 hingga 23 tahun di sebuah kedai gunting rambut di Tikam Batu pada jam 1.40 pagi pada hari sama.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 26A Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 dan Enakmen Hiburan Tempat-tempat Hiburan Kedah 1997.

Katanya, mereka dikenakan kompaun mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Menurutnya, tiada lagi amaran atau tolak ansur sebaliknya, mana-mana pihak yang ingkar akan dikenakan tindakan tegas memandangkan kini Mukim Sungai Petani dikategorikan sebagai zon merah.

Artikel Berkaitan:

"Sekiranya arahan PKP menetapkan hanya dua orang dalam kereta, patuhilah, dan jika hanya 10 kilometer pergerakan dibenarkan, maka ikutarahan," tegasnya.

PKP Bersyarat di Kedah bermula pada 13 Januari lalu namun kerajaan mengumumkan PKP di negeri itu dilaksanakan bermula 22 Januari berikutan peningkatan mendadak kes positif Covid-19.