X

Kindly register in order to view this article
!

Sorok dadah RM278,000 dalam tin biskut, coklat

Sheik Azhar (tiga dari kanan) bersama pegawai yang terlibat menunjukkan pil yaba dan heroin yang berjaya dirampas di Kampung Slow Machang, Tal Tujoh dan Gaung, Pasir Mas.
A
A

PASIR MAS - Taktik menyorok 1,800 biji pil yaba dan 520 gram heroin bernilai RM278,000 dalam tin biskut dan coklat gagal mengaburi mata anggota polis apabila bahan terlarang itu dirampas dalam serbuan di Kampung Slow Machang di sini pada Rabu.

Dalam serbuan pada jam 11 malam itu, seorang wanita berusia 34 tahun ditahan bagi membantu siasatan berhubung rampasan bahan tersebut.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kelantan, Asisten Komisioner Sheik Azhar Sheik Omar berkata, bertindak atas maklumat sepasukan anggota telah melakukan serbuan ke atas sebuah rumah.

"Hasil pemeriksaan di dalam sebuah bilik berhampiran kawasan dapur, kita telah menjumpai satu kotak polisterin yang mengandungi dua bekas tin tidak berpenutup.

"Pemeriksaan lanjut di dalam bekas tin pertama telah menjumpai 120 botol plastik mengandungi serbuk putih disyaki dadah jenis heroin," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas di sini pada Khamis.

Hadir sama Timbalan Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Superintendan Nik Aminuddin Raja Abdullah.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut di dalam bekas tin kedua menemui 1,800 biji pil yaba.

Katanya, selain dadah pihaknya turut menyita sebuah kereta dan dua buah motosikal yang dianggarkan berjumlah RM40,000.

Sheik Azhar berkata, saringan air kencing mendapati wanita tersebut negatif dadah dan tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

"Ketika serbuan dilakukan suspek bersama anaknya berusia lima tahun berada di dalam rumah berkenaan.

"Siasatan lanjut berhubung rampasan dadah itu masih dijalankan oleh polis," katanya.

Sheik Azhar berkata, terdahulu polis turut merampas 1,000 biji pil Yaba dan 5.19 gram Syabu dalam dua serbuan berasingan pada Rabu.

Katanya, serbuan pertama di Kampung Gaung di sini polis merampas 1,000 biji pil yaba selepas menahan seorang lelaki berusia 29 tahun pada jam 2 petang.

"Serbuan kedua pada jam 9.40 malam, polis merampas 5.19 gram syabu selepas menahan seorang lelaki di dalam sebuah kereta di Kampung Tal Tujoh," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!