Pogba dalam prestasi terbaiknya

Pogba merembat ke gawang Fulham untuk gol kedua United
Pogba merembat ke gawang Fulham untuk gol kedua United
A
A
A

AKSI cemerlang Paul Pogba dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) berdepan Fulham di Craven Cottage awal pagi Khamis, membuktikan bintang Perancis itu kini berada pada prestasi terbaiknya.

Perkara itu ditegaskan pengendali United, Ole Gunnar Solskjaer setelah menurunkan pemain berusia 27 tahun itu dalam kesebelasan utama The Red Devils bagi lima perlawanan berturut-turut sejak kebelakangan ini.

Malah menurut Solskjaer, pemain berusia 27 tahun itu turut meledak dua gol daripada lima penampilan berkenaan.

“Kita selalu mengatakan bahawa Pogba mampu melakukan apa sahaja; dia mampu membuka permainan, boleh beraksi di bahagian tengah, mencipta peluang dan membuat percubaan (gol).

“Ternyata, dia seorang pemain yang begitu komited selain turut sama membantu untuk mengekang asakan-asakan lawan.

“Kali ini, kita rasakan posisinya adalah di bahagian tengah dan dia turut berjaya menjaringkan gol menggunakan kaki kirinya pada perlawanan ini,” katanya.

Pada perlawanan berkenaan, skuad The Red Devils itu dikejutkan dengan jaringan seawal minit ke-5 menerusi pemain Fulham, Ademola Lookman.

Namun kesebelasan United bangkit menerusi jaringan Edinson Cavani pada minit ke-21 sebelum Pogba menjaringkan gol kedua yang juga gol kemenangan United pada minit ke-65.

Artikel Berkaitan:

Sekali gus, menyaksikan United merampas semula teraju EPL dengan 40 mata hasil 12 kemenangan, seri empat kali dan tewas tiga kali daripada 19 perlawanan setakat ini.

Sementara itu, Solskjaer enggan mengulas lanjut mengenai sebarang usaha skuad The Red Devils itu untuk kembali mengungguli takhta EPL musim ini yang kali terakhir dimenangi pada musim 2012/13 lalu.

“Perkara ini seringkali ditimbulkan ketika pertengahan musim tetapi, saya tidak mahu bercakap mengenai perkara itu kerana mengambil pendekatan satu perlawanan demi satu perlawanan.

“Lagi pun, musim ini adalah musim yang sukar untuk dijangka; apa sahaja boleh berlaku,” katanya.