X

Kindly register in order to view this article
!

Baik buruk Biden kepada dunia Islam

A
A

JOSEPH Biden – atau lebih dikenali sebagai Joe Biden – bakal mengambil alih posisi yang digelar sebagai ‘lelaki paling berkuasa di dunia’ iaitu Presiden Amerika Syarikat (AS).

Pastinya peristiwa ini bakal memberi impak besar dalam arena politik dan ekonomi antarabangsa kerana Biden menjanjikan perubahan signifikan berbanding presiden sebelum ini iaitu Donald Trump.

Dalam aspek dasar ekonomi domestik AS, Biden menjanjikan stimulus fiskal dan keutamaan menaikkan cukai korporat.

Maka, antara perubahan yang boleh dijangka selepas beliau mengangkat sumpah nanti adalah seperti menaikkan gaji minimum, menaikkan cukai korporat kepada sekitar 28 peratus dan meluaskan skim insurans kesihatan awam.

Beliau juga mahu mengurangkan harga ubat dengan kemungkinan membenarkan ubat import, memansuhkan hutang pendidikan, menaikkan kredit cukai pusat penjagaan dan asuhan anak serta pelaburan dalam teknologi tenaga hijau.

Dengan rekod sebagai Naib Presiden ketika pentadbiran Barrack Obama, Biden turut menjanjikan dasar pertanian, perdagangan dan pengangkutan yang hampir serupa seperti bekas ketua beliau itu.

Antaranya termasuklah insentif net-zero emissions dalam sektor pertanian, menggalakkan makanan tempatan, capaian jalur lebar di luar bandar, peningkatan eksport pertanian, serta pelan infrastruktur bernilai AS$1.3 trilion.

Pastinya kesemua data ini bakal dianalisis dengan mendalam dari masa ke masa oleh pelabur saham serta pengurus kewangan bukan sahaja di AS, bahkan juga di negara kita.

Realiti ini terbukti apabila ramai ‘sifu saham’ berkongsi panduan mengenai sektor-sektor yang dijangka menerima pulangan positif melalui perubahan dasar Biden nanti.

Malah, ada laman sesawang yang sudah pun menyenaraikan saham-saham yang menerima manfaat di kemuncak pilihan raya Presiden AS antara Biden dan Trump sejak tahun 2020 yang lalu.

Antara yang terus menjadi perhatian adalah impak kemenangan Biden ke atas syarikat-syarikat tenaga hijau serta mesra alam sekitar di samping impak kepada syarikat tenaga tradisi seperti Exxon dan Chevron untuk tempoh empat tahun mendatang.

Bagaimana pula dengan nasib dunia Islam di bawah Biden nanti? Adakah akan ada pulangan positif atau dividen keamanan seperti mana impak kemenangan beliau dalam sektor saham yang tertentu?

Sepertimana analisis impak manifesto dasar Biden boleh memberi petunjuk naik turun sektor saham tertentu, begitu juga dengan manifesto dasar luar beliau boleh dikaji untuk mendapatkan jangkaan konflik, perang, dan keamanan di dunia Islam.

Saat ini, terdapat beberapa negara yang menjadi fokus utama seluruh umat Islam iaitu Palestin, Yemen, Syria dan juga Iran.

Dalam isu pendudukan Palestin, meskipun Biden berpendirian menolak usaha Zionis Israel untuk mengilhak wilayah Tebing Barat Palestin, beliau masih menyokong kuat rejim tersebut dengan menolak seruan badan yang dikenali sebagai Boycott, Divestment, and Sanctions (BDS) kononnya atas dasar ‘anti-semitik’.

Malah, beliau juga secara terbuka menyokong tindakan negara-negara Arab yang menormalisasi hubungan diplomatik dengan rejim Zionis tersebut seperti UAE, Bahrain, Sudan, dan Maghribi.

Dalam isu Perang Yemen, Biden sejak sekian lama mengkritik campur tangan Arab Saudi di sana serta berjanji akan menarik balik sokongan AS terhadap perang tersebut.

Secara khusus, Biden bahkan memberi isyarat untuk mempertimbang semula penjualan senjata kepada Arab Saudi, berbeza dengan Trump sebelum ini.

Namun begitu, disebabkan Perang Yemen ini adalah begitu rumit – melibatkan Arab Saudi dan sekutunya, UAE dan proksinya di selatan, serta Houthi dengan Iran – maka tindakan Biden mengurangkan campur tangan AS di sana tidak akan dengan serta-merta menamatkan perang tersebut.

Kita sebagai umat Islam wajib untuk terus mendoakan kebaikan ekonomi dan politik daripada ALLAH SWT dan bukannya berharap kepada siapa jua yang berkuasa di White House.

* Abdul Muein Abadi ialah Penyelidik PhD di Faculty of Governance and Global Affairs, Leiden University, Belanda


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!