Sandakan rekod 129 kes denggi sejak awal tahun

Denggi
Denggi
A
A
A

SANDAKAN - Sandakan merekodkan 129 kes denggi sejak awal tahun ini sehingga 2 Februari lepas.

Menurut Pegawai Kesihatan Sandakan, Dr Johari Awang Besar, 14 lokaliti wabak denggi turut dikesan dalam tempoh itu, yang mana Taman Mesra merekodkan jumlah kes tertinggi dengan 39 kes.

“Selain Taman Mesra, lokaliti wabak lain ialah Taman Merpati Baru, Kampung Forest di Jambatan ABC, Kampung Forest di Jambatan DEF, Kampung Bahagia, Taman Fajar Fasa 2 dan Taman Fajar Fasa 4.

“Wabak denggi juga dikesan di Kampung Tinusa 2 Darat, Old Slipway di pusat bandar Sandakan, Kampung Berhala Darat, Astana Heights, Taman Sri Labuk, Bandar Ramai-Ramai dan Perumahan Murah Sim-Sim,” katanya kepada pemberita selepas gotong-royong membersihkan Taman Mesra di sini hari ini.

Turut terlibat dalam gotong-royong itu ialah Pejabat Kesihatan Sandakan, Majlis Perbandaran Sandakan, anggota tentera dan penduduk taman.

Dr Johari merayu kepada masyarakat supaya meluangkan masa sekurang-kurangnya 10 minit seminggu untuk membersihkan kawasan rumah, khususnya kawasan takungan air yang menjadi pembiakan nyamuk aedes.

Beliau turut memohon kerjasama masyarakat untuk membenarkan pasukan daripada Pejabat Kesihatan Sandakan untuk membuat semburan kabus (fogging) bagi membunuh nyamuk aedes.

“Kerjasama penduduk masih belum memuaskan kerana ada yang enggan memberi kerjasama untuk pihak Pejabat Kesihatan masuk rumah membuat pemeriksaan bagi mencari tempat pembiakan jentik-jentik, seterusnya menghapuskannya,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dr Johari juga menggesa masyarakat untuk segera berjumpa dengan doktor di klinik atau hospital jika mengalami demam, sakit otot atau sendi, sakit belakang mata dan kepala kerana dikhuatiri demam denggi.- Bernama