Sabah mohon peruntukan kerajaan Pusat

Kawasan letak kereta di Taman Negara Kinabalu Kundasang, Ranau runtuh Selasa lalu.
Kawasan letak kereta di Taman Negara Kinabalu Kundasang, Ranau runtuh Selasa lalu.
A
A
A

KOTA KINABALU - Kerajaan negeri akan memohon peruntukan daripada kerajaan Pusat untuk membaiki kawasan letak kereta di Taman Negara Kinabalu Kundasang yang runtuh pada Selasa lalu.

Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, walaupun ia tidak melibatkan jalan utama antara Kota Kinabalu ke Ranau namun kesan jangka panjang runtuhan itu jika tidak dibaiki segera boleh menjejaskan jalan utama.

"Kementerian Kerja Raya Sabah akan memohon peruntukan daripada kerajaan Pusat bagi membaiki runtuhan ini, di mana kita akan menyediakan anggaran kos peruntukan bagi kerja-kerja pembaikan untuk dikemukakan kepada kerajaan Pusat," katanya pada Rabu.

Bung Moktar yang juga Menteri Kerja Raya Sabah berkata, kerja pembaikan perlu dilakukan segera kerana kawasan ini menjadi tumpuan pelancong dan menjadi tempat meletakkan kenderaan bagi pengunjung yang ingin melawat Taman Kinabalu.

Tambahnya lagi, orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif di Jalan Bundu Tuhan Kinasaraban dan bagi yang melalui jalan yang runtuh itu diharap lebih berhati- hati.

"Pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) telah memasang papan tanda amaran selain kerja-kerja penyelengaraan bagi mengelak runtuhan itu memberikan kesan kepada jalan utama," katanya.

Ketika diminta mengulas berhubung runtuhan jalan antara Paitan ke Kinabungan, Bung Moktar berkata, JKR akan menggunakan peruntukan kecemasan untuk memperbaiki jalan itu.

"Setakat ini, laporan yang saya terima hanya bangunan kuarters loji air menggelongsor akibat runtuhan itu dan bangunan Loji Rawatan Air Paitan masih boleh berfungsi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pengarah Jabatan Air Sabah, Edward Lingkapo berkata, pihak jabatan sedang melakukan siasatan dan laporan terperinci berhubung kejadian itu.

"Sebaik sahaja laporan terperinci kita terima, jabatan akan membuat anggaran kos pembaikan di mana Pusat Rawatan Air Paitan ini adalah dibawah konsisi syarikat yang diberikan tanggungjawab mengendalikanya," katanya ketika dihubungi.