Guru agama dipenjara enam tahun kes amang seksual

Tertuduh (kanan) dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kemaman pada Rabu kerana didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
Tertuduh (kanan) dihukum penjara enam tahun oleh Mahkamah Sesyen Kemaman pada Rabu kerana didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.
A
A
A

KEMAMAN - Mahkamah Sesyen Kemaman menjatuhkan hukuman penjara enam tahun terhadap seorang guru agama selepas didapati bersalah melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun.

Hakim Azman Mustapha membuat keputusan itu terhadap tertuduh, Mohd Khairul Izzul Anang, 33, selepas pihak pembelaan gagal menimbulkan sebarang bentuk keraguan yang munasabah terhadap kes pihak pendakwaan.

Selain itu, tertuduh turut diperintahkan menjalani sesi kaunseling dalam tempoh tahanan serta diletakkan di bawah pengawasan polis selama dua tahun sebaik selesai menjalani hukuman penjara.

Tertuduh yang mempunyai dua anak didakwa mengikut Seksyen 14 (b) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap mangsa di sebuah rumah di Kemaman antara jam 2.30 petang hingga 5 petang pada 2 Februari 2018.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara bermula Rabu.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam, Akmal Wahidah Abd Halim untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sehingga proses rayuan selesai didengar di Mahkamah Tinggi dengan bayaran ikat jamin sebanyak RM10,000.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Hafizuddin Manjur Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, mangsa yang dihantar ke rumah tertuduh untuk mengikuti kelas pengajian al-Quran mengadu mengenai kejadian tersebut kepada ibunya yang menjemputnya pulang.