PH 4-1 BN: Mampukah BN rapatkan jurang di Semenyih?

PRK Semenyih
PRK Semenyih
A
A
A

KEMENANGAN Ramli Mohd Nor di PRK Parlimen Cameron Highlands seakan memberi nafas baharu buat BN selepas mereka kecundang dalam empat PRK sebelum ini.

Bermula di Dun Sungai Kandis, Dun Balakong, Dun Seri Setia dan kemudiannya Parlimen Port Dickson, BN belum mampu melawan taring PH.

Mengambil kira keputusan PRK sebelum ini, PH kini nampaknya mendahului dengan ‘jaringan empat gol berbalas satu’.

Ternyata pertembungan dua pasukan besar dalam arena politik negara, PH dan BN menarik perhatian peminat politik seantero Malaysia.

Bermula 16 Februari ini, sekali lagi mereka bakal memperaga kehebatan, merencana strategi, menyusun latihan bagi memastikan Dun Semenyih ditawan pada 2 Mac nanti.

Jika PH menang, maka keputusan berganjak kepada PH 5-1 BN.

Persoalannya, mampukah BN merapatkan jurang kepada 4-2?

Andai Cameron Highlands menjadi ukurannya, tidak mustahil BN mampu mengurangkan defisit apatah lagi gabungan dua kapten, dua penyerang berbisa, dua lagenda pasukan, Datuk Seri Mohamad Hasan (Umno) dan Datuk Seri Abdul Hadi Awang (Pas) dilihat mula membuahkan hasil.

Artikel Berkaitan:

Percaturan Mohamad mempertaruhkan Ramli untuk mengemudi jentera pasukan di Cameron Highlands boleh dianggap berjaya.

Begitupun, latihan keras dan strategi ampuh terus diperlukan sekiranya mengimpikan momentum positif bersambung di Semenyih.

Bagi pasukan PH pula, kekalahan di Cameron Highlands mungkin sedikit menyentak keyakinan mereka namun umum mengakui, bukannya mudah menumbangkan juara bertahan apatah lagi selepas lawan mempertaruhkan pemain baharu yang ternyata hebat dan popular.

Selepas cemerlang membenam lawan dalam empat PRK sebelumnya termasuk kemenangan bergaya Datuk Seri Anwar Ibrahim di Port Dickson, cakap-cakap kurang enak mula kedengaran setelah PH tumpas pada 26 Januari lepas.

Bekas teraju utama BN, Datuk Seri Najib Tun Razak lantang mengatakan kemenangan BN di Cameron Highlands adalah mesej jelas rakyat menolak PH malah beliau yang giat berkempen untuk BN turut mengucapkan terima kasih kepada pengundi yang memilih parti itu.

Tidak dinafikan aura bekas kapten Umno itu masih membara. Setiap kali beliau turun ke satu kawasan, ramai penyokong hadir bersamanya. Malah, corak permainan ‘malu apa bossku’ dibawa beliau menjadi bualan kawan dan lawan, pantas menjadi ikutan.

Namun, PH bukanlah pasukan yang boleh dipandang enteng.

Empat PRK lepas membuktikan kejaguhan mereka, tumpas sekali bukanlah bermakna kalah berterusan.

Formasi dan strategi digunakan PH dilihat lebih ampuh dalam empat PRK selepas PRU14.

Cuma, mungkin pemilihan M Manogaran mengetuai barisan serangan PH di Cameron Highlands kurang menjadi.

Sebelum ini, dua kali beliau kemarau gol dan kali ini, sekali lagi Manogaran gagal menemui sentuhan penyudah.

Akibatnya, PH kecundang di Cameron Highlands manakala Manogaran mencatat kekalahan hatrik (tiga kali) di kawasan tersebut. Maka, bersoraklah BN meraikan kemenangan, berdukalah PH meratapi kekalahan.

Selepas ini, PRK Dun Semenyih pula bakal mengambil tempat, merancakkan arena politik negara. PH dan BN pastinya akan memilih penyerang terbaik bagi mengetuai jentera pasukan masing-masing untuk bertempur pada 16 Februari hingga 2 Mac nanti.

Kapten pasukan serta nama-nama besar pasti turun membantu menyemarakkan kempen, melontarkan kata-kata semangat, berkongsi strategi bagi memastikan penyerang mereka berterusan menghasilkan jaringan sekaligus menawan Dun Semenyih.

Kemuncaknya, perebutan Piala Malaysia, mungkin pada 2023 yang bakal menyaksikan adakah juara PRU14 terus bertahan atau Malaysia bakal menerima juara baru yang selama ini merupakan juara bertahan selama 60 tahun?

Usah difikirkan pertembungan yang masih jauh, moleklah kalau ditumpukan kepada pertandingan yang bakal bermula minggu depan. Banyak perkara dapat dibuktikan dalam PRK kali ini. Jika PH menang, lain ceritanya, begitu juga jika BN yang menang.

Tatkala Liga Malaysia sudah memulakan aksi, PRK pula dilihat tidak pernah gagal menghangatkan suasana. Semoga pasukan yang menang tidak melupakan penyokong (rakyat) yang senantiasa bersama mereka.

Persoalan utama, mampukah BN merapatkan jurang? Adakah PH akan terus unggul, menjarakkan kedudukan? Semuanya akan terjawab pada 2 Mac nanti.

(Penutup klise dari penulis) Sama-sama kita nantikan...