PKP: Aktiviti masjid, surau di Perlis dihentikan

Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
A
A
A

PERLIS - Raja Muda Perlis, Syed Faizuddin Putra Ibni Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail pada Rabu bertitah supaya semua aktiviti solat di masjid dan surau dihentikan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 22 Januari hingga 4 Februari 2021.

Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersetuju semua aktiviti terbuka secara berkumpulan di masjid dan surau seluruh negeri Perlis termasuk solat berjemaah dihentikan seketika.

Titah baginda, arahan berkenaan mendapat perkenan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail selain menerima pandangan dan nasihat daripada Kementerian Kesihatan Malaysia mengenai perkembangan semasa penularan wabak Covid-19.

"Bagaimanapun, solat berjemaah dan solat Jumaat dibenarkan di surau kepada pelajar yang tinggal di asrama dengan syarat tidak mempunyai pergerakan keluar serta tiada kontak dengan pihak luar.

"Sebagai langkah keselamatan, pengurusan asrama perlu memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) serta memastikan tiada penyertaan jemaah lain," titah baginda.

Dalam pada itu, umat Islam diseru menunaikan solat secara berjemaah di rumah dalam tempoh PKP bermula waktu Maghrib pada 21 Januari 2021 sehingga waktu Isyak 4 Februari 2021 atau sehingga suatu tarikh akhir pelaksanaan PKP seperti yang diumumkan oleh kerajaan jika berlaku pelanjutan.

Baginda turut mengarahkan laungan azan akan dilaksanakan di masjid dengan gantian seruan ungkapan 'hay’alatain' kepada 'solatlah di rumah kamu' berdasarkan riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Selain itu, bagi mengimarahkan masjid, solat lima waktu hanya membabitkan pegawai dan jawatankuasa yang bertugas tidak melebihi lima orang dengan mengikut SOP yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

"Solat Jumaat hendaklah didirikan dengan jemaah yang terdiri daripada anak kariah sahaja termasuk imam atau khatib dengan tidak melebihi kapasiti maksimum mengikut saiz masjid dan tidak kurang daripada tiga orang seperti yang dipraktikkan sebelum ini," titah baginda.

"Individu yang berumur 60 tahun dan ke atas dan kanak-kanak di bawah 15 tahun tidak dibenarkan hadir.

"Mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sesak nafas, sakit tekak dan selsema selain mereka yang mempunyai sejarah kesihatan lain seperti kencing manis, darah tinggi, lelah, penyakit barah, dan sebagainya juga tidak dibenarkan.

"Tiada kontak fizikal dibenarkan seperti berjabat tangan di masjid sama ada sebelum atau selepas solat dan terus beredar setelah selesai solat," titah baginda.

"Pegawai atau jawatankuasa masjid perlu melakukan proses nyahkuman atau disinfeksi.

"Selain itu, aktiviti kuliah dan pengajian secara dalam talian (online) tanpa perhimpunan fizikal boleh dilaksanakan sebagai alternatif," titah baginda.