Dilarang tampal poster politik di pagar masjid, surau - MAIDAM

Shaikh Harun (tengah) pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Sumbangan Lembu oleh McDonald's Malaysia kepada asnaf zakat negeri Terengganu di Kompleks Seri Iman di Kuala Terengganu pada Isnin.
Shaikh Harun (tengah) pada Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Sumbangan Lembu oleh McDonald's Malaysia kepada asnaf zakat negeri Terengganu di Kompleks Seri Iman di Kuala Terengganu pada Isnin.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pihak pengurusan masjid dan surau di Terengganu diingatkan supaya memastikan tiada sebarang program berunsur politik termasuk menampal poster berkaitan parti tertentu di mana-mana masjid atau surau di negeri itu menjelang pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Datuk Shaikh Harun Shaikh Ismail berkata, larangan itu telah mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin pada 9 Julai lalu bagi memastikan masjid dan surau bebas daripada dijadikan tempat kegiatan politik kepartian.

Menurutnya, pagar masjid dan surau juga tidak boleh dijadikan tempat menggantung poster, iklan, jadual dan aktiviti parti atau calon yang bertanding.

"Tak perlu buat markas politik di tepi atau berhampiran masjid dan surau... jangan tampal poster di masjid malah pagar masjid pun tak boleh (tampal).

"Selain itu, tuanku juga bertitah kepada orang yang diberi tauliah mengajar di masjid supaya tidak selit atau menyentuh apa-apa berkaitan politik semasa pengajaran.

"Terdapat 510 masjid dan lebih 2,000 surau di seluruh Terengganu. Jadi semua pihak diminta patuhi arahan ditetapkan bagi menjaga keharmonian dan kemuliaan masjid serta menjaga perpaduan dalam kalangan masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Zakat Perniagaan dan Sumbangan Lembu oleh McDonald's Malaysia kepada asnaf zakat negeri Terengganu di Kompleks Seri Iman di sini pada Isnin.

Pada 13 Julai lalu, Terengganu menguatkuasakan larangan terhadap sebarang aktiviti melibatkan kempen pilihan raya atau program berunsur politik di mana-mana masjid atau surau di negeri itu menjelang PRN tidak lama lagi.

MAIDAM telah mengeluarkan pekeliling untuk melarang semua ahli politik termasuk golongan aktivitis menjadi khatib dan imam solat Jumaat sepanjang tempoh berkempen di semua masjid dan surau di Terengganu.

Baru-baru ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari mengundi bagi PRN melibatkan Terengganu, Kelantan, Kedah, Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang diadakan serentak pada 12 Ogos depan.

Pengerusinya, Tan Sri Abdul Ghani Salleh memberitahu, tarikh 29 Julai merupakan hari penamaan calon manakala hari pengundian awal adalah pada 8 Ogos depan.

Mengulas lanjut, Shaikh Harun berkata, perkara tersebut telah dimaklumkan kepada Pesuruhjaya Hal Ehwal Agama Terengganu supaya disebarluaskan kepada semua ahli jawatankuasa masjid dan surau bagi tujuan pemantauan berhubung isu berkenaan.

"Kita juga akan terima aduan dari jemaah jika berlaku pelanggaran sebagai contoh video untuk memudahkan siasatan.

"Selain itu, tindakan juga diambil kepada dua belah pihak iaitu penceramah atau jawatankuasa masjid dan surau yang terlibat," ujarnya.

Shaikh Harun menambah larangan tersebut akan dikuatkuasakan di bawah Seksyen 103 Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Terengganu iaitu kesalahan mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam tanpa tauliah.

Jelas beliau, jika disabitkan kesalahan, individu terlibat boleh didenda tidak melebihi RM5,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.