Pertahankan UMNO, bukan pemimpin

Gambar kecil: Dr Mohammad Tawfik Yaakub
Gambar kecil: Dr Mohammad Tawfik Yaakub
A
A
A

MEMPERTAHANKAN parti lebih penting berbanding mempertahankan seorang pemimpin.

Oleh itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sewajarnya akur dengan gesaan ahli akar umbi agar berundur secara terhormat daripada menerajui parti Melayu itu.

Penganalisis Politik, Dr Mohammad Tawfiq Yaakub berkata, taat setia kepada pemimpin juga perlu diletakkan tepat pada masa berbanding kesetiaan membuta tuli yang boleh merosakkan parti yang telah banyak berjasa kepada negara dan orang Melayu.

Justeru, katanya, ahli-ahli UMNO tidak boleh hanya membiarkan masa menentukan masa depan parti.

“Saya melihat kepimpinan UMNO perlu mempertimbangkan gesaan (Ahmad Zahid berundur secara terhormat) kerana suara Pemuda UMNO dan beberapa bahagian di seluruh negara juga merupakan suara akar umbi yang perlu diberi perhatian segera.

“Saya melihat dan yakin bahawa sekiranya Presiden mengambil tindakan berundur secara terhormat, ia akan menguntungkan dan memberi kelebihan kepada UMNO untuk berpotensi menang lebih besar dalam Pilihanraya Umum ke-15 (PRU15).

“Malah Ahmad Zahid akan disanjung tinggi kerana berundur ketika UMNO berkuasa dalam kerajaan. Ahli-ahli UMNO perlu ingat bahawa pemimpin datang dan pergi tetapi parti akan terus kekal, maka mempertahankan parti itu lebih utama berbanding mempertahankan pemimpin,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohammad Tawfiq berkata, ahli-ahli UMNO memerlukan kepimpinan yang lebih segar dan baharu kerana rakyat khususnya orang Melayu inginkan seorang pemimpin yang kuat, mampu mengawal parti, mempunyai idea yang jelas untuk masa depan orang Melayu khususnya anak muda yang semakin jauh daripada UMNO.

Artikel Berkaitan:

“UMNO tidak muflis pemimpin pelapis, malah mereka ramai pemimpin pelapis dan muda yang mampu menerajui parti pada bila-bila masa, maka presiden perlu berlapang dada degan gesaan terbaharu oleh pemuda-pemuda bahagian, negeri dan kepimpinan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tindakan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan meminta sokongan ahli-ahli Parlimen UMNO dan Barisan Nasional (BN) untuk menggesa Yang di-Pertuan Agong memanggil sidang Parlimen, beliau berkata, tindakan itu dilihat tidak menjiwai kehendak semasa ahli UMNO dan rakyat yang sedang susah.

Malah ujarnya, tidak mustahil akan wujud penentangan secara senyap oleh ahli dan kepimpinan UMNO yang tidak mahu menonjol untuk menolak tindakan Ahmad.

“Keadaan ini amat berbahaya kepada parti. Saya percaya kebanyakan ahli UMNO menolak tindakan tersebut tetapi mereka tidak memperlihatkan penolakan tersebut kerana masih menghormati pemimpin parti. Maka janganlah UMNO mengambil pendekatan menentang arus perasaan ahli UMNO dan rakyat,” katanya.