Jangan merana hujung bulan

No Image Caption
A
A
A

SEMALAM, penulis ada ternampak satu promosi barangan perhiasan rumah di media sosial dan dengan pantas mula scroll laju-laju, membelek setiap satu barangan.

Dalam hati berkata, "Amboi murahnya, eh ini pun murah. Ya ALLAH ini pun. Eh free delivery?" Kebetulan pula hari tidak bekerja, maka tempoh membelek itu bagai tiada hadnya sampai tidak sedar sudah azan Zuhur. Maka, berhentilah sekejap sebab perlu memasak, selesaikan hal anak-anak, makan dan mandi sebelum masuk semula ke pejabat iaitu bilik kecil di rumah.

Bercerita semula tentang promosi, apatah lagi di media sosial, pasti ramai yang suka. Namun hakikatnya anda perlu berhati-hati kerana pada setiap promosi itu mungkin ada scammer yang sedang memerhati.

Isu scammer pula bukan perkara baharu, sebaliknya acap kali diingatkan, namun masih ramai terperdaya. Di mana silapnya? Orang kata selagi tidak kena batang hidung sendiri susah hendak percaya, betulkah?

Penulis sentiasa mengingatkan ibu dan ayah agar tidak melayan jika ada individu tidak dikenali menelefon, namun disebabkan langkah berhati-hati itu menyebabkan salah faham pula.

Pernah berlaku, penulis membeli barangan di sebuah kedai. Tauke kedai menghubungi penulis untuk membuat penghantaran, namun penulis tidak sempat menjawab. Akhirnya, tauke kedai hubungi talian telefon di rumah.

Hendak dijadikan cerita, ibu penulis yang menjawab terus memarahi tauke tersebut. Katanya, anaknya tidak pernah membuat pembelian barangan dan meletakkan telefon. Menurut ibu, scammer yang telefon. Kasihan tauke kedai.

Jadi, kalau membeli apa-apa barangan, pastikan anda maklumkan kepada keluarga kerana bimbang jadi masalah lain.

Artikel Berkaitan:

KerugianAda juga kisah yang penulis baca tahun lalu mengenai satu promosi di Terengganu. Seorang penuntut berputih mata selepas kerugian RM31,200 akibat teruja melihat iklan telefon pintar berjenama dijual pada harga murah di Instagram.

Bukan sikit-sikit kerugian itu bagi seorang penuntut berusia 22 tahun. Kadang-kadang kita sudah berhati-hati tetapi diduga dengan ujian seperti itu.

Promosi sebenarnya membantu kita berjimat. Selagi boleh berjimat, kita jimatlah. Ia juga dapat membantu golongan kurang berkemampuan untuk membeli sesuatu barang.

Bagi penulis, pihak peniaga wajar meneruskan kaedah tersebut, cuma sebagai pembeli kita ada pilihan untuk membeli atau tidak. Sesuaikan dengan kewangan masing-masing, sama ada barang keperluan atau kehendak. Jika promosi bawang sekilogram RM1.50, yang itu perlulah kita beli atau mungkin promosi baju terpakai, dikira sekilogram RM10, berbaloi juga.

Sesiapa sahaja tidak kiralah lelaki atau wanita pasti ghairah untuk membeli jika melihat promosi barangan yang disukai. Pantang ada promosi, pasti mahu dibeli dan dimiliki. Namun, adakala apa yang dibeli itu tidak diperlukan pun, hujung-hujung sendu jadinya.

Penulis juga tidak terkecuali. Tahun lalu ada promosi barangan mekap dengan harga yang sangat berbaloi. Bayangkan RM6 sahaja untuk sebatang gincu bibir, selain itu ada bedak oles dan krim muka. Semuanya murah-murah. Ghairah membeli, sudahnya penulis tidak pakai pun. Akhirnya, muka sama juga walaupun mekap berlambak.

Nasihat penulis, janganlah kita berlebihan dalam keghairahan melihat promosi barangan yang ditawarkan. Berpada-pada ketika berbelanja terutama secara dalam talian. Kita tak sedar berapa banyak duit kita ‘mengalir’ keluar.

Kita perlu bersedia dengan keadaan mengejut antaranya tiba-tiba kereta tidak boleh dihidupkan, tiba-tiba tumit kasut patah dan perlu bersedia beli yang lain, tiba-tiba sakit dan perlu ke hospital yang memerlukan rawatan dan pelbagai lagi keadaan tiba-tiba yang memerlukan kita menggunakan wang.

Namun, penulis percaya ramai di luar sana sentiasa mengutamakan keperluan berbanding kehendak. Tetapi jika dugaan itu datangnya daripada isteri tersayang, bagaimana pula? Mana boleh menidakkan kehendak isteri.

Insya-ALLAH, rezeki sentiasa cukup tetapi isteri pun berpada-pada juga. Jangan keterlaluan berbelanja. Jangan sampai poket merana hujung bulan.

*Norafidah Assan ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Melaka dan Negeri Sembilan