Permai bukti kerajaan prihatin atasi isu rakyat

MOHD NAZRI
MOHD NAZRI
A
A
A

SUNGAI PETANI- Pakej Bantuan Perlindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin membuktikan keprihatinan kerajaan berdepan pandemik Covid-19 yang menjejaskan kehidupan rakyat.

Setiausaha Bersatu Negeri Kedah merangkap Ketua Bahagian Bersatu Sik, Mohd Nazri Abu Hassan berkata, Pakej Bantuan Permai yang diumumkan adalah penambah baik inisiatif sedia ada yang masih berterusan.

Menurutnya, ini membuktikan bantuan disalurkan kerajaan bagi memastikan kelancaran pembekalan keperluan asas harian, perdagangan antarabangsa dan rantaian bekalan kepada industri, infrastruktur kritikal dan juga kerja-kerja kecemasan tidak terjejas.

"Kerajaan terus komited menyampaikan manfaat yang perlu disalurkan kepada kumpulan sasar terlaksana dengan segera setiap masa.

"Buktinya sebelum ini kerajaan telah pun melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi yang bernilai RM305 bilion sejak bermulanya penularan wabak Covid-19.

"Kali ini pakej yang disalurkan tertumpu kepada tiga matlamat utama iaitu memerangi wabak Covid-19, memelihara kebajikan rakyat dan menyokong kelangsungan perniagaan dengan 22 inisiatif yang akan dilaksanakan," katanya menerusi satu kenyataan pada Selasa.

Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan yang ada pada hari ini cukup tegas menangani krisis kesihatan di mana Muhyiddin sendiri tidak pernah mengabaikan tanggungjawab beliau terhadap negara ketika rakyat sedang berdepan situasi sukar.

"Saya ingin mengingatkan agar pihak lain jangan mencetuskan polemik dan persepsi politik hingga mengelirukan rakyat di saat negara sedang berhadapan dengan krisis kesihatan yang serius hingga menjejaskan kehidupan rakyat," katanya.

Artikel Berkaitan: