X

Kindly register in order to view this article
!

Tiga pegawai Maqis direman kes kartel daging

Tiga penguat Kuasa Maqis berusia 40 hingga 55 tahun direman selama lima hari kerana disyaki terlibat dengan kegiatan rasuah berhubung kemasukan daging-daging beku yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Veterinar Malaysia.- Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Tiga pegawai Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) yang disiasat kerana disyaki terlibat rasuah berhubung kemasukan daging beku yang tidak dibenarkan oleh Jabatan Veterinar Malaysia direman selama lima hari bermula Selasa.

Perintah reman ke atas mereka dikeluarkan Penolong Pendaftar, Nur Fathiah Mohd Fedzir di Mahkamah Majistret Johor Bahru selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor membuat permohonan berkenaan pagi ini.

Terdahulu, ketiga-tiga suspek tiba di pekarangan kompleks mahkamah kira-kira jam 8.20 pagi dengan berpakaian baju lokap SPRM.

Pengarah SPRM Johor, Datuk Azmi Alias ketika dihubungi berkata, ketiga-tiga suspek masing-masing berusia 40, 44, dan 55 tahun.

"Mereka ditahan di Pejabat SPRM Johor kira-kira jam 7 malam tadi selepas hadir untuk membantu siasatan.

"Kes ini disiasat mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009," katanya.

Semalam SPRM Johor dilaporkan menahan seorang pengarah syarikat berusia 36 tahun di Johor Bahru sebelum suspek direman selama enam hari bermula Isnin.

Sementara itu, dalam perkembangan berkaitan, SPRM menerusi kenyataan dikeluarkan pada Isnin memberitahu sudah menahan seramai lapan suspek sejak 4 Januari lalu bagi membantu siasatan berhubung isu kartel daging sejuk beku.

SPRM memaklumkan, seramai 27 saksi telah dipanggil dalam siasatan kes berkenaan terdiri daripada pekerja syarikat, ejen pengimport serta pegawai kerajaan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Akta SPRM 2009 yang menjurus kepada kesalahan menerima rasuah, mengemukakan tuntutan palsu serta kesalahan berkaitan pemalsuan dokumen.

Pada 2 Disember lalu, Sinar Harian menerusi laporan khas membongkar kegiatan kartel mengimport daging dari beberapa negara yang tidak halal sebelum meletakkan logo halal palsu untuk dijual dan dibekalkan di pasaran tempatan.

Serbuan dilakukan Maqis bersama-sama agensi lain di sebuah stor di Senai dekat sini, sekali gus mendedahkan kegiatan itu yang menggemparkan seluruh negara.

ARTIKEL BERKAITAN: Kartel tukar daging haram jadi halal


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!