Sorok minyak masak, rokok bawah pelepah kelapa sawit

Kotak mengandungi bungkusan minyak masak disorokkan di bawah timbunan pelepah daun pokok kelapa sawit di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Pangkalan Desa Kencana, Lahad Datu.
Kotak mengandungi bungkusan minyak masak disorokkan di bawah timbunan pelepah daun pokok kelapa sawit di kawasan kebun kelapa sawit di Kampung Pangkalan Desa Kencana, Lahad Datu.
A
A
A

LAHAD DATU - Cubaan penyeludup menyorokkan 578 bungkus minyak masak dan 800 bungkus rokok di bawah timbunan pelepah kelapa sawit gagal apabila ditemui anggota Pasukan Polis Marin (PPM) di Kampung Pangkalan Desa Kencana pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu, longgokan kotak mengandungi dua bahan itu ditemui ketika sepasukan anggota melakukan rondaan di kawasan kebun kelapa sawit terbabit selepas dilihat dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Lahad Datu, Superintendan Gan Ping Sin berkata, siasatan mendapati minyak masak dan rokok itu dipercayai cuba disembunyikan sebelum diseludup ke negara luar.

"Hasil pemeriksaan longgokan kotak di bawah pelepah daun pokok kelapa sawit itu terdapat sebanyak 17 kotak yang mengandungi 578 bungkus minyak masak dan 800 bungkus rokok pelbagai jenis disyaki tidak bercukai.

"Jumlah rampasan minyak masak dianggarkan bernilai RM1,445 manakala rokok dianggarkan bernilai RM6,534 selepas cukai dengan nilai keseluruhan rampasan adalah sebanyak RM7,979," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Ping Sin berkata, semua barang rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Lahad Datu untuk tindakan lanjut.

"Kes rampasan minyak masak disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan dirujuk kepada pihak Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) manakala kes rampasan rokok disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967," katanya.

Terdahulu, beliau meminta masyarakat setempat supaya menyalurkan sebarang maklumat yang menyalahi undang-undang di kawasan perairan masing-masing melalui aplikasi WhatsApp PPM Wilayah 4 Sabah di talian 013-2831197.

Artikel Berkaitan:

"Masyarakat juga boleh berhubung terus ke Markas Operasi PPM Lahad Datu di talian 013-9808084 agar tindakan dapat diambil sekali gus memastikan keselamatan dan ketenteraman masyarakat maritim sentiasa terjaga dan terkawal," katanya.