X

Kindly register in order to view this article
!

Banjir Sabah: 25 jalan terjejas, 10 kejadian tanah runtuh

Seorang penunggang motosikal mengharung banjir yang menenggelamkan Jalan Kolupis Penampang hari ini. - Foto Bernama
A
A

KOTA KINABALU - Sebanyak 25 jalan terjejas dan 10 kejadian tanah runtuh dilaporkan dalam kejadian banjir di negeri ini, sehingga jam 12 tengah pada Ahad.

Tinjauan Bernama di beberapa jalan terbabit mendapati, hanya kenderaan berat dan kenderaan pacuan empat roda mampu melepasi banjir, namun di beberapa kawasan seperti Jalan Kolopis di daerah Penampang, jalan itu langsung tidak dapat dilalui sebarang jenis kenderaan.

Selain itu tanah runtuh menyebabkan Jalan Penampang-Tambunan runtuh sebahagiannya dan tidak selamat untuk dilalui kerana hujan lebat berterusan dikhuatiri memburukkan keadaan tanah di bahagian bawah jalan itu.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah menerusi kenyataan hari ini memberitahu, selain Jalan Kolopis, empat lagi jalan di daerah Penampang terjejas akibat banjir ialah, Jalan Datuk Panglima Banting, Jalan Kasigui, Jalan Lama Penampang di Bundusan dan Jalan Dabak.

Jalan utama menghubungkan daerah Tuaran dan Kota Kinabalu iaitu Jalan Tuaran Melalin-Kota Kinabalu turut terjejas dan tiga lagi jalan terjejas di daerah itu ialah Jalan Taman Seri Rugading, Jalan Kampung Kauluan dan Jalan Salut Lapasan.

Sebanyak enam jalan terjejas di daerah Kudat iaitu Jalan Tamalang, Jalan Airport, Jalan Pusat Bandar, Jalan Damai, Jalan Rondomon dan Jalan Surau Lanjong, manakala dua jalan terjejas di Kota Marudu ialah Jalan Langkon Pitas dan Jalan Kampung Damai.

Bagi daerah Pitas sebanyak tujuh jalan terjejas iaitu Jalan Langkon, Jalan Suang Duyung, Jalan Liu Malubang, Jalan Kinabongan, Jalan Kabatasan Dandun, Jalan Sosop Bai dan Jalan Mengkubau Laut.

Daerah Paitan dan Lahad Datu masing-masing mempunyai dua jalan terjejas iaitu Jalan Sungai-sungai dan Jalan Bypass Utama.

Sementara itu, 10 kejadian tanah runtuh dilaporkan di tujuh buah kampung, melibatkan empat daerah iaitu Kota Kinabalu, Kota Marudu, Pitas serta Kudat, dan setakat ini tiada kematian dilaporkan akibat kejadian tersebut.

Kota Kinabalu, kejadian tanah runtuh dilaporkan di Kampung Lokub dan satu lagi kejadian di Kota Marudu iaitu di Sekolah Menengah Kebangsaan Tandek 2.

Enam kejadian tanah runtuh dilaporkan di Pitas iaitu di Kampung Layak-layak, Jalan Langkon-Pitas, Jalan Rinasuk Unggol-Kampung Sosop, Jalan Suang Duyung, Jalan Sosop Bai dan Jalan Mengkubau Laut.

Daerah Kudat pula mencatat dua kejadian tanah runtuh iaitu di Kampung AIr dan Kampung Dumpirit. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!