MEDAC gesa usahawan ambil peluang pelbagai bantuan, insentif kerajaan

Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menggesa usahawan untuk memanfaatkan sepenuhnya pelbagai bantuan, insentif dan program di bawah kementerian serta agensinya untuk kekal berdaya saing dalam persekitaran perniagaan yang mencabar hari ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, usahawan perniagaan tidak formal turut digalakkan mendaftar dengan pihak berkuasa yang berkaitan supaya semua peruntukan dan bantuan yang ada dapat disalurkan kepada penerima yang layak.

“Kita kini berada dalam era pasca Covid-19. Banyak perkara di sekeliling kita yang berubah dan kita perlu menerima dan menyesuaikan dengan normal baharu. Dalam perniagaan, ia mengenai kelangsungan hidup.

“Usahawan perlu terus melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan dan kemahiran baharu, bukan hanya untuk kelangsungan perniagaan mereka, tetapi juga untuk memanfaatkan banyak peluang baharu," katanya dalam kenyataan pada Ahad.

Menurut kaji selidik oleh kementerian, antara cabaran utama yang akan dihadapi oleh usahawan semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 adalah kekangan aliran tunai dan jumlah jualan yang lebih rendah.

Ini berikutan penurunan permintaan daripada pelanggan dan waktu operasi perniagaan yang lebih pendek.

Rantaian bekalan juga dijangka terjejas oleh masalah logistik dan kelewatan dalam penghantaran bahan mentah akibat pergerakan yang terhad, katanya.

Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata, usahawan mikro dan tidak formal akan paling terjejas oleh kekangan aliran tunai berikutan mereka tidak mempunyai banyak simpanan untuk menampung kos operasi perniagaan, seperti gaji pekerja, sewa dan bil utiliti.

Artikel Berkaitan:

Katanya, aktiviti perniagaan dalam sektor pelancongan, pertanian, borong dan runcit juga dijangka akan terjejas oleh PKP 2.0 dan pengisytiharan darurat di seluruh negara.

“Selain itu, pengisytiharan darurat boleh menyebabkan 'force majeure' -- situasi yang tidak dapat dijangka yang menghalang seseorang daripada memenuhi kontrak dan akan mengakibatkan kerugian kepada usahawan.

“Ia juga boleh menjejaskan keyakinan pelabur terhadap landskap perniagaan negara yang berpotensi mewujudkan kesan domino dalam pasaran saham dan pelaburan langsung asing (FDI),” katanya.

Bagaimanapun, di sebalik semua risiko itu, Wan Junaidi optimis untuk menyaksikan impak positif daripada situasi semasa, iaitu dari segi peningkatan permintaan dalam talian serta penawaran produk dan perkhidmatan.

Merujuk kepada laporan oleh Suruhanjaya Syarikat Malaysia untuk tempoh Januari-September 2020, beliau berkata walaupun sebanyak 41,349 perniagaan telah ditutup dalam tempoh tersebut, terdapat 299,431 pendaftaran perniagaan baharu, dan 86,295 daripadanya adalah perniagaan dalam talian.

Sementara itu, beliau turut menggesa orang ramai untuk mematuhi prosedur operasi standard PKP yang ditetapkan bagi membantu melandaikan keluk Covid-19 dan seterusnya membolehkan aktiviti ekonomi kembali normal.

“Tiada cara lain untuk menangani situasi ini. PKP yang dilanjutkan akan menjejaskan ekonomi dan kumpulan yang akan terjejas teruk ialah kumpulan B40, termasuk pengendali perniagaan mikro dan tidak formal,” katanya. - Bernama