Polis Johor rampas dadah lebih RM200 juta

Ayob Khan (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Mount Austin dan Setia Indah, Johor Bahru pada sidang akhbar di IPK Johor pada Ahad.
Ayob Khan (dua dari kiri) menunjukkan dadah yang dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Mount Austin dan Setia Indah, Johor Bahru pada sidang akhbar di IPK Johor pada Ahad.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor menyerbu tiga stor penyimpanan dadah dengan nilai keseluruhan rampasan dan sitaan berjumlah RM210 juta dalam beberapa operasi susulan kejayaan menumpaskan satu sindiket dadah pada minggu lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, menerusi operasi susulan dari 14 hingga 15 Januari hasil pendedahan empat daripada 15 suspek yang ditangkap sebelum ini, pihaknya membuat serbuan di stor simpanan dadah sekitar Mount Austin dan Setia Indah di sini.

"Dalam serbuan pertama, bangunan kilang di Taman Mount Austin dijadikan stor simpanan dadah. Sejumlah dadah, prekursor dan peralatan memproses dadah dirampas.

"Hasil tindakan lanjut, JSJN Johor berjaya membongkar satu lagi stor simpanan dadah kedua dipercayai rumah sewa di kawasan Setia Indah yang dijadikan tempat penyimpanan dadah. Hasil serbuan itu sejumlah dadah berjaya dirampas," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini pada Ahad.

Sebelum ini pada Sabtu dan Ahad minggu lalu, polis Johor membuat rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM125.8 juta selepas menahan 15 suspek dalam 16 serbuan di sekitar Johor Bahru.

Mengulas lanjut, Ayob Khan berkata, serbuan ketiga di sebuah rumah sewa yang dijadikan tempat penyimpanan dadah di Setia Indah berjaya merampas sejumlah dadah.

Katanya, modus operandi sindiket itu adalah dengan menyewa kilang dan rumah untuk dijadikan pusat pemprosesan dadah yang dipercayai sudah beroperasi sejak tahun 2018 lagi.

Artikel Berkaitan:

Antara wang tunai berjumlah RM5.854 juta dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Mount Austin dan Setia Indah, Johor Bahru menerusi operasi yang dilakukan pada 14 hingga 15 Januari.
Antara wang tunai berjumlah RM5.854 juta dirampas dalam tiga serbuan di sekitar Mount Austin dan Setia Indah, Johor Bahru menerusi operasi yang dilakukan pada 14 hingga 15 Januari.

"Rampasan di keseluruhan stor tersebut melibatkan 3.20 tan serbuk ekstasi bernilai RM192 juta, 26.10 kilogram (kg) cecair ekstasi bernilai RM936,600 dan 117kg serbuk erimin 5 bernilai RM8.775 juta.

"Polis turut merampas mesin dan peralatan memproses dadah selain melakukan sitaan terhadap empat kenderaan mewah, wang tunai RM5.854 juta dan pelbagai mata wang asing berjumlah RM231,961," kata beliau lagi.

Ayob Khan berkata, turut dirampas 30 jenis barang kemas dengan nilai RM124,435; tiga utas jam tangan jenama mewah bernilai RM250,000 dan 62 akaun bank dengan nilai RM1.234 juta manakala nilai keseluruhan jumlah sitaan RM8.65 juta.

"Nilai keseluruhan dadah dan sitaan keseluruhan ke atas sindiket ini berjumlah RM210.52 juta. Rampasan dadah itu boleh digunakan seramai 11,312,533 penagih dadah dan dadah ini diproses untuk pasaran tempatan serta luar negara," katanya.

Menurutnya, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan dan kini direman selama empat hari sehingga 20 Januari untuk siasatan.

"Jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan sepanjang operasi ke atas sindiket itu sejak minggu lalu berjumlah RM341.797 juta," katanya.