Jaafar Onn belajar menjahit di kampung

JAAFAR ONN
JAAFAR ONN
A
A
A

Siapa sangka, daripada hanya mengikuti kelas jahitan di kampung, hasil kerja dan rekaannya telah dipakai oleh ramai artis terkenal tanah air serta ditatap oleh masyarakat di seluruh negara.

Itulah antara cerita kegigihan artis serba boleh bernama Jaafar Onn Awang atau lebih dikenali sebagai Jaafar Onn sepanjang penglibatannya sama ada secara langsung mahupun tidak langsung dalam industri hiburan negara sejak lebih empat dekad.

“Saya pandai buat rekaan baju ini kerana pernah mengikuti kelas jahitan di kampung, bukan belajar di mana-mana pun. Masa itu saya tahu macam mana nak buat baju kebaya, macam mana nak buat baju Melayu. Macam mana nak buat baju kemeja.

“Di situlah saya mula belajar membuat rekaan sendiri dan mula menerima tempahan pakaian,” katanya kepada Sinar Harian.

Jaafar Onn (tengah) semasa kecil bergambar bersama keluarganya.
Jaafar Onn (tengah) semasa kecil bergambar bersama keluarganya.

Jaafar Onn berkata, peluang untuk menghasilkan rekaan untuk artis ternama tanah air pada zaman 1980-an itu hadir secara tidak sengaja apabila beliau diundang dalam sebuah program masakan, Dunia Wanita terbitan RTM pada tahun 1973.

Menurutnya, menerusi rancangan yang dihoskan oleh Allahyarhamah Tan Sri Zaleha Ismail itu, beliau yang memang pandai memasak sejak di bangku sekolah, mula dikenali dalam industri hiburan dan sering diundang dalam program masakan.

“Sejak keluar televisyen pada tahun tersebut, banyak majalah yang menghubungi saya untuk buat rancangan masak hari khususnya pada hari raya seperti Wanita, Her World, URTV, Juita dan Jelita, semua panggil saya.

Artikel Berkaitan:

“Sebelum dikenali, saya sudahpun terlebih dahulu melakukan pekerjaan sebagai jurumekap dan menyediakan khidmat sewaan baju perkahwinan.

“Secara kebetulan saya turut diminta menyediakan baju songket untuk dipakai oleh artis yang menjadi penghias muka depan majalah tersebut. Daripada situ saya semakin dikenali sebagai chef dan pereka fesyen,” katanya.

Antara artis ternama tanah air yang pernah memakai rekaannya ialah Datuk Sheila Majid, Datuk Sarimah Ahmad, Datuk Yusni Hamid, Fauziah Latiff dan Salwa Abdul Rahman.

Bercerita dengan lebih lanjut, Jaafar berkata, beliau tekad untuk berhijrah ke Kuala Lumpur semasa berusia berusia 17 tahun bagi mengembangkan lagi bakat yang dimilikinya dalam bidang seni.

“Dengan wang sebanyak RM18, naik bas sambung-sambung daripada kampung di Johor sampai ke Kuala Lumpur dan menumpang di rumah sepupu di Flat Pekeliling.

“Visi saya ketika itu memang nak cari ruang untuk menjadi seorang artis. Sejak di bangku sekolah saya sangat aktif dalam aktiviti kesenian.

“Ketika di sekolah juga, saya pernah memenangi pertandingan mengarang cerpen peringkat sekolah. Selain daripada itu, saya juga sudah menjadi jurulatih tarian bagi kumpulan tarian di sekolah saya sejak berumur 13 tahun,” katanya.

Bagaimanapun, Jaafar Onn berkata, perjalanan kehidupannya sejak berpindah daripada kampungnya di Seri Tanjung Gading, Muar ke Kuala Lumpur pada tahun 1973 bukanlah indah yang disangka.

“Satu peristiwa yang saya ingat sampai sekarang walaupun sudah berlalu lebih 30 lalu adalah ketika saya sedang bekerja sebagai jurumekap dan membuat pelamin.

“Saya pernah dihalau oleh seorang pemimpin ternama negara ketika sedang menjadi jurumekap di majlis perkahwinan ahli keluarga rapat pemimpin tersebut.

“Bagi saya, ia sangat memalukan kerana saya telah dihalau di depan keluarganya yang lain. Alasannya, saya tidak boleh menyentuh perempuan,” katanya.

Selepas daripada kejadian tersebut, Jaafar Onn berkata, beliau terus mengambil keputusan untuk beralih arah dengan menjadi koreografer bagi RTM melalui kumpulan tarian Maya Studio yang ditubuhkan pada tahun 1980.

Antara artis terkenal tanah air yang lahir daripada kumpulan tersebut ialah Erma Fatima, Datuk Ziela Jalil, Radhi Khalid, Didie Alias dan Jasmine Hamid.

Melihat kembali perjalanan seninya daripada dahulu sehingga kini, Jaafar berkata, beliau sentiasa berusaha untuk mencari rezeki sebagai anak seni dengan bakat yang dimiliki tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

“Selama saya duduk di Kuala Lumpur, saya membiayai diri saya tanpa dibantu oleh orang lain. Apa sahaja yang saya boleh buat, saya buat. Sama ada nak jual bunga ke atau apa sahaja mengikut kreativiti saya.

“Bagi saya itulah hadiah yang ALLAH beri disebabkan kita punya kemahuan untuk bergerak sebagai seorang artis.

“Sampai orang dah boleh terima kita jadi pengacara, pelakon, pereka fesyen, dan pelawak. Maknanya dalam dunia seni ini semua saya dah pelajari. Jadi saya tak perlu risau,” kata penyanyi berusia 69 tahun pernah berkahwin pada tahun 1983.

Namun jodoh tak panjang, dia dan bekas isteri berpisah selepas empat tahun melayari kehidupan bersama dan dikurniakan seorang cahaya mata.

Profil

Nama: Jaafar Onn Awang

Tarikh lahir: 19 Oktober 1951 (69 tahun)

Asal: Tanjung Gading, Muar, Johor

Penglibatan Seni:Menubuhkan kumpulan tarian Maya Studio (1980)

Drama Cili Padi (1995)

Filem XX-Ray (1992)

Filem Aku No 1 (2004)