Enam pengawal keselamatan pukul lelaki tempatan ditahan

Video pergaduhan melibatkan enam pengawal keselamatan dengan lelaki tempatan yang tular di laman sosial Facebook.
Video pergaduhan melibatkan enam pengawal keselamatan dengan lelaki tempatan yang tular di laman sosial Facebook.
A
A
A

ALOR SETAR - Polis menahan enam pengawal keselamatan warga Bangladesh di sebuah kompleks membeli-belah di Lebuhraya Darulaman di sini kerana dipercayai memukul seorang mekanik pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir berkata, kesemua suspek berusia antara 26 hingga 41 tahun.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang berusia 34 tahun meletakkan motosikalnya kira-kira jam 3 petang di hadapan kompleks membeli-belah itu.

"Kemudiannya, datang seorang pengawal keselamatan memarahi lelaki itu kerana tidak meletakkan motosikal di tempat disediakan.

"Bagaimanapun, lelaki itu menjelaskan bahawa dia berada di atas motosikal dan sedang menunggu ibunya mengambil barang di tingkat atas kompleks berkenaan," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Menurutnya, secara tiba-tiba, pengawal keselamatan itu mengeluarkan kata-kata kesat dan mangsa menolak pengawal keselamatan terbabit ke belakang.

Tambah beliau, selepas itu, pengawal keselamatan tersebut memanggil beberapa rakan sekerjanya dan mereka menarik mangsa masuk ke dalam satu bilik sebelum memukulnya menggunakan tangan dan kayu penyapu.

Ahmad Shukri berkata, susulan kejadian itu, mangsa mengalami sakit pada anggota badan sebelum membuat laporan polis.

Artikel Berkaitan:

Katanya, pengurus pengawal keselamatan terbabit turut membuat laporan polis memaklumkan pekerjanya diserang.

"Sehubungan itu, kes disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan. Rakan mangsa turut dikesan bagi membantu siasatan," katanya.

Sebelum ini, tular video pergaduhan berdurasi 34 saat melibatkan enam pengawal keselamatan dengan lelaki tempatan di laman sosial Facebook.