Jasa mereka kini dilupakan, kata Bossku

Paparan skrin kenyataan Najib di Facebook, miliknya.
Paparan skrin kenyataan Najib di Facebook, miliknya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui berasa sedih dengan kenyataan Jabatan Hal Ehwal Veteran Angkatan Tentera Malaysia (JHEV ATM) mengatakan Kementerian Kewangan tiada dana untuk untuk membayar Bantuan Bakti Negara (BBN) sebanyak RM1,200 setahun kepada veteran tidak berpencen.

Dakwa Najib, selepas anggota dan veteran ATM dihasut dan dipergunakan PH sebelum PRU14, mereka kini diketepikan pula.

Tegas Najib, beliau yang pernah menjadi Menteri Pertahanan sebelum ini sangat memahami susah payah dan pengorbanan mereka demi negara.

“Mereka berkorban masa, nyawa dan meninggalkan keluarga untuk menjaga kita. Demi untuk memastikan kita lena tidur di malam hari. Menjaga sempadan, tanpa rungutan dan keluh kesah.

ARTIKEL BERKAITAN: JHEV dedah BBN guna duit hasil jual tanah kem ATM

“Sebab itulah saya perkenalkan Bantuan Bakti Negara (BBN) untuk veteran-veteran tentera tidak berpencen demi menghargai jasa pengorbanan mereka tetapi PH telah mansuhkan.

“Jasa Veteran Angkatan Tentera Malaysia kita jangan dilupakan,” tulis beliau dalam laman Facebooknya.

Ahli Parlimen Pekan itu turut mempersoalkan peruntukan untuk sekolah swasta yang kaya dan sumbangan RM1 bilion kepada kerajaan Pulau Pinang untuk memulakan projek lebuh raya termahal dalam sejarah Malaysia yang kini dibantah ramai pihak.

Artikel Berkaitan:

“Tetapi Menteri Kewayangan (Menteri Kewangan) tak mampu menyediakan peruntukan RM53 juta untuk memberi RM1,200 kepada veteran tidak berpencen dan ini bukan setiap bulan, hanya sekali setahun.

“Bukan itu sahaja, veteran-veteran yang tidak berumahtangga juga tidak lagi mendapat BR1M. Apatah lagi dengan kenaikkan gaji dan elaun tambahan mereka yang juga telah dinafikan oleh PH,” ujarnya.

Ketua Pengarah JHEV ATM, Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, RM53 juta yang digunakan untuk membayar BBN kepada veteran tidak berpencen sebelum ini datang daripada penjualan tanah kem tentera bagi tujuan menaik taraf kem sedia ada.

“Tindakan ini telah mengakibatkan program menaik taraf kem-kem ATM sedia ada ditangguhkan. Justeru, bagi 2018 dan 2019, keutamaan diberikan kepada program menaik taraf kem ATM sedia ada yang tertangguh,” katanya dalam kenyataan hari ini.