JHEV dedah BBN guna duit hasil jual tanah kem ATM

Mejer Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad
Mejer Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mendedahkan pemberian Bantuan Bakti Negara (BBN) yang diperkenalkan oleh kerajaan BN adalah daripada hasil penjualan tanah kem milik ATM.

Ketua Pengarah JHEV ATM, Mejer Jeneral Datuk Dzulkarnain Ahmad berkata, BBN merupakan bantuan tahunan yang mula dilaksanakan pada tahun 2016 berjumlah RM1,000 kepada veteran ATM yang tidak berpencen.

Jelas beliau, jumlah tersebut kemudian ditingkatkan kepada RM1,200 bagi tahun 2017 bertujuan untuk mengurangkan beban kewangan mereka.

"Kementerian Kewangan tidak memperuntukan dana bagi pembayaran BBN yang dilaksanakan pada tahun 2016 dan 2017 dan peruntukan BBN berjumlah RM53 juta adalah hasil daripada penjualan tanah kem ATM yang pada asalnya dana ini bertujuan untuk menaik taraf kem sedia ada.

"Tindakan ini telah mengakibatkan program menaik taraf kem-kem ATM sedia ada ditangguhkan. Justeru bagi tahun 2018 dan 2019 keutamaan diberikan kepada program-program menaiktaraf kem ATM sedia ada yang tertangguh," katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Dzulkarnain berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah portal berita mengenai pesara tentera terkilan kerana tiada bantuan RM1,200 seperti zaman pemerintahan BN.

Bagaimanapun, beliau berkata, Kementerian Pertahanan peka terhadap beban kewangan yang dihadapi veteran tidak berpencen dan sedang membuat kajian bagi mencari alternatif lain bagi membantu meringankan beban kos sara hidup mereka.

"Perkara ini akan dibentangkan pada Majlis Veteran Kebangsaan (MVK) yang dijangka akan bersidang pada 28 Februari ini," jelas beliau.

Artikel Berkaitan: