Jalan pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu- Ayer Itam mula Februari ini

Ahli-ahli Lembaga Pengarah CZC, Tan Sri Datuk Dr Khor Eng Chuen (dua dari kanan) menyerahkan perjanjian yang ditandatangani kepada Kon Yeow pada Jumaat.
Ahli-ahli Lembaga Pengarah CZC, Tan Sri Datuk Dr Khor Eng Chuen (dua dari kanan) menyerahkan perjanjian yang ditandatangani kepada Kon Yeow pada Jumaat.
A
A
A
GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang menandatangani perjanjian tambahan bersama Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZC) berhubung Sub Agreement Projek Pakej 2- Jalan Pintasan Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu Ke Ayer Itam.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, perjanjian itu dilihat sebagai satu 'milestone achievement' yang penting dalam usaha meneruskan pelaksanaan Projek Tiga Jalan Utama dan Terowong Dasar Laut (PMRT).

Menurutnya, dengan perjanjian itu, CZC akan memulakan kerja pembinaan pada 1 Februari ini.

"Pelaksanaan pembinaan jalan pintasan (bypass) ini dijangka siap pada 3 Januari 2025 dan akan memanfaatkan penduduk Pulau Pinang dari segi pengurangan tempoh masa perjalanan.

"Projek pakej itu bertujuan bagi menguraikan trafik dan mengurangkan kesesakan jalan raya di samping bertindak sebagai satu kaedah penyelesaian jangka masa panjang," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Kon Yeow berkata, projek tersebut merupakan sebahagian daripada inisiatif di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).

"Ia bertujuan untuk menambah baik kesesakan lalu lintas dengan penyuraian trafik di kawasan-kawasan yang mengalami kesesakan lalu lintas serius seterusnya menjurus ke arah pelaksanaan sistem pengangkutan awam yang efisien.

"Sejak menerajui Pulau Pinang pada 2008, kerajaan negeri sentiasa komited dalam menyelesaikan isu berkaitan kesesakan lalu lintas di negeri ini," katanya.

Projek Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu ke Ayer Itam – Pakej 2 dengan jarak sekitar 6 kilometer merupakan projek pertama yang dimulakan di bawah PTMP.

Artikel Berkaitan:

Majlis Pecah Tanah (ground breaking ceremony) telah diadakan pada 2 November 2019 dan sehingga kini, Master Agreement bagi projek PMRT dan Sub-Agreement telah ditandatangani masing-masing pada 2 Ogos 2019 dan 11 Oktober 2019.

Jajaran Pakej 2 ini akan menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di kawasan Ayer Itam ke Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu.

Jajaran ini merangkumi seksyen jejambat dengan jarak 4.2 km dan seksyen sama-aras dengan jarak sepanjang 1.8 km.

Jajaran Pakej 2 ini juga merangkumi tiga persimpangan (interchange) iaitu Interchange 1 (di Lebuhraya Thean Teik), Interchange 2 (Jalan Bukit Gambir-Jalan Sultan Azlan Shah) dan Interchange 3 (di Lebuhraya Tun Dr Lim Chong Eu yang melibatkan persimpangan Left In-Left Out dan pusingan bertingkat).

Projek terowong sepanjang 6.5 kilometer dan tiga jalan utama itu merupakan salah satu projek yang terkandung dalam PTMP dengan nilai keseluruhan RM46 bilion.