PKP: Kerajaan digesa pertimbang operasi pasar malam

Kerajaan diharap dapat memberi pertimbangan bagi membenarkan operasi pasar malam di setiap negeri-negeri yang dikenakan PKP. Gambar hiasan.
Kerajaan diharap dapat memberi pertimbangan bagi membenarkan operasi pasar malam di setiap negeri-negeri yang dikenakan PKP. Gambar hiasan.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan diharap dapat memberi pertimbangan bagi membenarkan operasi pasar malam di setiap negeri-negeri yang dikenakan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus berkata, pihaknya menerima banyak rungutan daripada peniaga pasar malam kerana terjejas pendapatan susulan pelaksanaan PKP.

Menurut Hasanuddin, beliau amat memahami usaha kerajaan dalam memerangi wabak Covid-19 namun nasib peniaga terlibat juga perlu diberi keutamaan.

"Saya mewakili Parlimen Hulu Langat dan seluruh peniaga pasar malam memohon pertimbangan berhubung perkara ini dan berharap agar kerajaan dapat memberi sedikit kelonggaran untuk mereka beroperasi," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Hasanuddin berkata, terdapat beberapa langkah alternatif dapat dilakukan kerajaan dalam perkara ini antaranya dengan membuat penggiliran bagi peniaga untuk beroperasi di setiap tapak pasar malam.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga boleh mempertimbangkan cadangan peniaga yang mengesyorkan waktu operasi di pasar malam adalah bermula dari jam 6 petang sehingga 9.30 malam.

"Kerajaan sepatutnya ada langkah alternatif untuk pastikan ekonomi terus berkembang walaupun negara sedang berdepan Covid-19.

"Pasar malam beroperasi di tempat terbuka dan lapang malah ia berbeza dengan pusat-pusat membeli-belah yang lebih tertutup serta merisikokan orang awam dengan Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah Hasanuddin, pihaknya juga yakin peniaga serta pengunjung pasar malam akan dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN).

"Dalam hal ini, saya juga telah mengutuskan surat kepada Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Khamis dan berharap agar kerajaan dapat memberi pertimbangan sewajarnya," katanya.

Sepanjang pelaksanaan PKP, sebahagian aktiviti ekonomi dibenarkan beroperasi antara jam 6 pagi hingga 8 malam, kecuali bagi aktiviti tertentu.

Penguatkuasaan semula PKP melibatkan Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya serta Labuan), Melaka, Johor dan Sabah untuk tempoh 14 hari bermula 16-26 Januari ini seperti yang diumumkan Muhyiddin pada Isnin.