X

Kindly register in order to view this article
!

Keruntuhan demokrasi di Amerika

A
A

REMPUHAN puak ekstremis kulit putih di Capitol Hill, pusat pentadbiran Amerika Syarikat pada 6 Januari yang lalu, dari perspektif sejarah mendedahkan di mana kedudukan dunia sekarang dan apa itu demokrasi di sisi rakyat dan pemimpin Amerika Syarikat (AS).

Donald Trump telah dilihat mensabotaj sistem demokrasi AS bila menolak kekalahannya dalam Pilihan Raya Presiden AS 2020 dan menghasut penyokongnya mengganas serta memecah masuk Rumah Putih. Peristiwa itu menyebabkan lima orang termasuk seorang anggota polis Rumah Putih maut.

Kini kecaman terhadap Trump berleluasa sebagai Presiden yang toksik. Beliau dikutuk kerana menyerang sistem demokrasi, mengangkat ekstrimis nasionalis dan suprimasi kulit putih, bersikap rasis serta merosakkan selama empat tahun seluruh institusi kehakiman, pertahanan, kesihatan, dasar luar dan hubungan antarabangsa AS.

Insiden menyerang Rumah Putih sebenarnya menandakan kebangkitan golongan kulit putih ekstremis di AS yang kononnya menjadi pendesak untuk menyekat keruntuhan AS sebagai kuasa imperialis. Bermakna insiden keganasan itu adalah permulaan kepada senario lebih buruk yang bakal berlaku iaitu golongan nasionalis AS mahu kekalkan negara itu sebagai 'polis dunia'.

Empayar Amerika bermula selepas berperang dengan Sepanyol pada tahun 1898. Selepas Perang Dunia Kedua, negara imperialis England, Perancis, Belanda, Portugal dan Jerman kini Amerika pula mengambil alih sebagai empayar imperialis yang baharu.

Amerika membina kuasa ekonominya bermula dengan pertanian dan bergerak kepada industri berasas teknologi tinggi. Dengan kuasa ekonomi, Amerika menjadi kuasa tentera dan kuasa budaya. Empayar Amerika mengwujudkan 800 pusat tentera di seluruh dunia. Ia membangunkan kompleks persenjataan dengan syarikat-syarikat teknologi yang mereka rasa sistem senjata paling maju dan infrastruktur khidmat perisikan tercanggih.

Amerika melancarkan rampasan kuasa dan mencetuskan peperangan untuk menghancurkan penentangan rakyat mana-mana negara. Sebarang kebangkitan rakyat yang melawan imperilisme dan regim yang taat kepada Amerika, akan dihancurkan. Malah AS mewujudkan golongan elit budaya dengan kerjasama infrastruktur budaya iaitu media dan institusi pendidikan yang berjaya menjajah minda rakyat lokal di negara-negara di dunia.

Buku-buku teks Amerika diguna di semua universiti yang berorientasi barat di seluruh dunia. Makanan segera, muzik, ikon barat terutama dari Amerika kini menjadi global. Namun nampaknya Empayar Amerika hanya wujud kurang dari satu abad dan tidak bertahan lebih daripada satu abad. Berbanding empayar sebelum ini, bertahan ratusan tahun, Empayar Amerika adalah yang terpendek dalam sejarah.

Secara relatif kuasa ekonomi dan budaya Amerika kian lemah terutama kepada China. Media dunia juga tidak lagi tertumpu hanya kepada media sejenis dengan CNN semata-mata.

Selanjutnya teknologi Amerika kini terbelakang dari China. Malah prestasi pelajar Amerika dalam ilmu matematik dan sains kalah dengan banyak negara lain. Beberapa negara dunia juga kini mampu berdepan dengan kuasa militari Amerika. Empayar ketenteraan AS kalah dengan Revolusi Cuba pada tahun 1959. Pada tahun 1975 gerakan pembebasan Vietnam mengusir tentera AS.

Pada tahun 1979 Revolusi Iran di bawah Imam Khomeini menjatuhkan regim paling taat kepada Amerika dan barat. Pada tahun 1999 Venezuela di bawah Chavistas berjaya merampas kerajaan yang menjadi rakan kepada barat.

Populasi AS akan bertambah daripada 320 juta pada tahun 2016 kepada 355 juta pada tahun 2030 dan 404 juta pada tahun 2060. Populasi golongan bukan hispanik berkulit putih (keturunan daripada kolonialis Eropah) akan menurun daripada 61 peratus kepada 44 peratus pada tahun 2060. Dalam tempoh 40 tahun golongan kulit putih akan menjadi minoriti di AS!

* Mohd Azmi Abd Hamid ialah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia dan Presiden Teras Pengupayaan Melayu


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!