BNM lantik dua ahli baharu MPC

Dari kiri: Datuk Dr Gan Wee Beng, Nor Zahidi Alias
Dari kiri: Datuk Dr Gan Wee Beng, Nor Zahidi Alias
A
A
A

SHAH ALAM - Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan pelantikan Nor Zahidi Alias dan pelantikan semula, Datuk Dr Gan Wee Beng sebagai anggota luar Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC).

Menurut kenyataan BNM pada Rabu, pelantikan masing-masing berkuat kuasa pada 1 Januari 2021 dan 1 April 2021 selama tempoh dua tahun.

"Pelantikan Nor Zahidi dan pelantikan semula Wee Beng akan terus meningkatkan kepakaran dan pengalaman bersama berkaitan dengan tanggungjawab dan fungsi Jawatankuasa Dasar Monetari.

"Di bawah Akta Bank Negara Malaysia 2009, MPC bertanggungjawab merumuskan dasar monetari dan dasar-dasar untuk mengendalikan operasi dasar monetari," katanya.

Nor Zahidi merupakan bekas Ketua Ekonomi di Malaysian Rating Corporation Berhad (MARC).

Pada peringkat awal kerjayanya, beliau berkhidmat di The New Straits Times Press (M) Berhad sebagai penganalisis kanan sebelum menyertai Kuala Lumpur City Securities sebagai ahli ekonomi.

Sebelum bertugas di MARC, beliau menjadi Ketua Penyelidik dan Ketua Ekonomi di Alliance Merchant Bank dan Ketua Penyelidik di MCIS Zurich Insurance.

Sementara itu, Wee Beng merupakan anggota Jawatankuasa Dasar Monetari sejak 1 April 2019.

Artikel Berkaitan:

Beliau pernah memegang jawatan sebagai Ahli Lembaga Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM).

Selain itu, beliau juga menjadi Ahli Lembaga di Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) dan telah menyandang beberapa jawatan dalam CIMB Group termasuk sebagai Penasihat Perbankan Pelaburan dan Pengarah Eksekutif di CIMB Bank, CIMB Investment Bank dan CIMB Securities.

Dengan pelantikan ini, MPC akan dianggotai lapan orang ahli termasuk Gabenor, Nor Shamsiah Yunus; Timbalan Gabenor, Abdul Rasheed Ghaffour; Timbalan Gabenor, Jessica Chew Cheng Lian; Timbalan Gabenor, Marzunisham Omar; Penolong Gabenor Norzila Abdul Aziz; Penolong Gabenor Dr. Norhana Endut.