Polis Terengganu perketat SJR mulai tengah malam Sabtu

ROSLEE
ROSLEE
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Sekatan jalan raya (SJR) di semua pintu keluar masuk ke negeri Terengganu akan diperketatkan sepenuhnya bermula jam 12.01 tengah malam Sabtu ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Roslee Chik berkata, bermula hari pertama pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) lagi, pihaknya melakukan SJR 24 jam di lima pintu sempadan keluar dan masuk negeri.

Menurutnya, bagaimanapun pada peringkat awal ini, penugasan anggota lebih kepada memberi nasihat dan peringatan kepada pengguna jalan raya agar sentiasa beringat dengan pelaksanaan PKPB yang diumumkan kerajaan sebelum ini.

"Dalam tempoh empat hari ini, SJR mengutamakan pendekatan mendidik dan memberi amaran tetapi bermula jam 12.01 tengah malam Sabtu, kami akan memperketatkan penguatkuasaan dengan melakukan pemeriksaan rapi ke atas kesemua kenderaan.

"Setiap kenderaan yang ditahan akan diperiksa selain wajib menunjukkan surat kebenaran rentas negeri yang sah dan sekiranya gagal berbuat demikian, kami tidak akan teragak-agak meminta mereka berpatah balik atau kompaun.

"Bermula tempoh itu juga, had pergerakan keluar masuk kenderaan hanya dibenarkan sehingga 12 tengah malam sahaja," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Khamis.

Sebelum ini, Roslee mengumumkan lima SJR 24 jam iaitu tiga di Kemaman dan dua di Besut adalah tetap bagi memastikan tiada individu dari zon merah melepasi masuk ke negeri ini.

Di Kemaman, SJR akan diadakan di kawasan Rehat dan Rawat (RNR) Perasing, Paya Berenjut dan Tol Cheneh, manakala di Besut, SJR dilakukan di Kampung Pachakan dan Kampung Tok Saboh.

Artikel Berkaitan:

Bagi kawasan Jerteh dan Bukit Yong, ia akan diambil alih Ibu Pejabat Polis Daerah Pasir Puteh, Kelantan.