Marzuki serah kedudukan kepada PM, kepimpinan Bersatu

Transkrip CIU milik Marzuki.
Transkrip CIU milik Marzuki.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Susulan kelayakan akademiknya dipertikai ramai pihak, Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Marzuki Yahya menyerahkan kepada Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk membuat keputusan berhubung jawatannya itu.

Marzuki turut menyerahkan kedudukannya sebagai Setiausaha Agung Bersatu kepada kepimpinan parti selepas beliau dikecam teruk kerana dikatakan menipu kelayakan akademiknya.

“Dengan ini, saya menyerahkan kedudukan saya sebagai Timbalan Menteri Luar Negeri dan Setiausaha Agung Bersatu kepada perdana menteri dan kepimpinan parti,” katanya dalam satu kenyataan.

Calon PH di Parlimen Tasek Gelugor pada PRU14 itu menjelaskan kekeliruan berhubung kelayakan akademiknya dari Cambridge International University (CIU) di Amerika Syarikat yang dipertikai ramai pihak.

Bahkan, beliau turut berkongsi transkrip diperoleh daripada CIU bagi membuktikan beliau sememangnya melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.

Menurutnya, beliau tidak pernah berniat menggambarkan seolah-olah dirinya mendapat pendidikan di University of Cambridge sebaliknya menjelaskan beliau memulakan pengajian jarak jauh bersama CIU sekitar 2002, iaitu 17 tahun dahulu.

“Ketika itu saya sedang berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) syarikat perkapalan dan logistik milik sendiri di Pulau Pinang.

“Seikhlasnya, niat saya ketika itu ialah untuk menimba ilmu kontemporari dan terkini mengenai industri perkapalan dan logistik di negara maju, termasuklah di Amerika Syarikat.

Artikel Berkaitan:

“Harapan saya ialah agar ilmu yang diperolehi akan dapat membantu mengembang dan memajukan perniagaan perkapalan yang saya usahakan,” ujarnya.

Tambahnya, sewaktu memulakan kurus di CIU, masyarakat Malaysia dan dunia masih belum membincangkan akreditasi universiti secara meluas malah sistem ranking universiti yang terkenal dan tersusun seperti sekarang juga masih belum wujud.

“Oleh itu, apabila mengetahui mengenai kursus yang ditawarkan oleh CIU berkaitan dengan bidang perniagaan yang saya ceburi, saya mendaftarkan diri tanpa memberikan penekanan kepada aspek akreditasi kursus yang ditawarkan.

“Sejujur dan seikhlasnya saya tidak pernah berniat untuk menggunakan kelayakan akademik yang ada bagi mengelirukan sesiapa kerana niat asal pengajian saya 17 tahun dahulu adalah untuk menimba ilmu dalam bidang perniagaan yang saya ceburi,” jelas beliau.

Katanya, tidak terlintas di fikirannya pada waktu itu bahawa suatu hari nanti beliau akan berada pada kedudukan sekarang sebagai seorang anggota pentadbiran kerajaan.

“Saya berharap agar penjelasan ini dapat meleraikan kekeliruan yang ada,” katanya.

Mengulas mengenai kelayakan akademiknya yang terpapar di Wikipedia, Marzuki menegaskan beliau tidak pernah memasukkan sebarang maklumat berkaitan pendidikannya atau mengarahkan orang lain berbuat demikian di dalam laman web tersebut.

Baru-baru ini, Marzuki dikritik hebat ekoran dakwaan seorang individu bahawa beliau menipu rakyat dengan menyatakan mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan daripada Universiti Cambridge.