Sambutan Ponggal, Thaipusam di Melaka ditangguhkan

Foto 123RF
Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Mengambil kira situasi pandemik Covid-19 yang melanda negara ketika ini, kerajaan Melaka memutuskan untuk menangguhkan sambutan Ponggal dan Thaipusam di negeri ini ke satu masa yang belum ditetapkan.

Setiausaha Hal Ehwal Masyarakat kepada Ketua Menteri Melaka, Datuk M S Mahadevan berkata, selain itu, program membantu masyarakat India di negeri ini dengan menggunakan dana yang diperuntukkan bagi perayaan tersebut tahun ini turut ditangguhkan.

"Bagaimanapun, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 2.0 ini secara tidak langsung memberi kelebihan kepada masyarakat India di negeri ini mengeratkan hubungan silaturahim sesama keluarga di kediaman masing-masing.

"Kita juga sedang merancang kaedah terbaik mengikut prosedur operasi standard untuk menyampaikan sumbangan kepada masyarakat India yang memerlukan supaya dapat meringankan beban mereka untuk menyambut kedua-dua perayaan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini pada Khamis.

Mahadevan yang juga Pengerusi MIC Melaka turut menasihati penganut agama Hindu di negeri ini untuk tidak menyertai sebarang perarakan sempena Thaipusam pada 28 Januari ini dan menyarankan untuk melakukan upacara keagamaan khususnya sembahyang pada hari sambutan itu di rumah sahaja.

Beliau berkata, orang awam khususnya penganut agama Hindu harus mengelakkan diri daripada mengunjungi atau berkumpul di kawasan yang sesak bagi memutuskan rantaian jangkitan Covid-19. - Bernama

Artikel Berkaitan: