X

Kindly register in order to view this article
!

Jaminan bekalan barangan keperluan mencukupi

Mohd Khairuddin
A
A

KUALA LUMPUR - Keputusan kerajaan membenarkan sektor perladangan dan komoditi beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan darurat amat wajar bagi menjamin proses pemulihan semula ekonomi negara serta memastikan rakyat terus mendapat akses barangan keperluan sepanjang tempoh berkenaan.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, langkah itu juga akan turut memastikan sumber pendapatan negara khususnya pekebun kecil agrikomoditi tidak terjejas.

“Semua peladang, pengilang dan syarikat yang beroperasi sepanjang tempoh PKP dan darurat perlu mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan yang boleh dirujuk di laman web Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) demi memastikan keselamatan rakyat adalah terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, KPPK akan memantau, seterusnya memastikan semua aktiviti sektor perladangan dan komoditi mematuhi SOP yang ditetapkan.

Kerajaan telah membenarkan lima sektor ekonomi perlu termasuk perladangan dan komoditi untuk beroperasi dalam tempoh PKP di Pulau Pinang, Selangor, Wilayah Persekutuan, Melaka, Johor dan Sabah mulai 13 hingga 26 Januari 2021.

Ia merangkumi semua aktiviti pengeluaran agrikomoditi iaitu sawit, getah, kayu-kayan termasuk sektor perabot, koko, lada, kenaf dan biodiesel serta rantaiannya bagi ladang dan pekebun kecil, dagangan, input pertanian, kilang pemprosesan di samping pensijilan.

Mohd Khairuddin berkata, kementeriannya berharap semua pihak dalam sektor yang dibenarkan beroperasi dapat menyesuaikan diri dengan amalan kebiasaan baharu terutamanya dalam mematuhi penjarakkan sosial, kebersihan diri dan tempat kerja serta garis panduan yang ditetapkan dari masa ke masa.

Sebarang pertanyaan berhubung SOP itu boleh dikemukakan kepada KPPK melalui talian hotline 03-88803498 pada Isnin hingga Jumaat bermula jam 8 pagi hingga 5 petang atau emel kepada [email protected] - Bernama


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!