'UMNO lemas di kolam yang cetek' ada benarnya...

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Annuar Musa mengakui pandangan Pengerusi Majlis Profesor Negara (MPN), Profesor Ulung Shamsul Amri Baharuddin dalam catatannya bertajuk 'UMNO lemas di kolam yang cetek' sememangnya memedihkan.

Menurut Ahli Parlimen Ketereh itu, catatan Shamsul Amri itu menimbulkan pelbagai reaksi dalam kalangan pemimpin parti berkenaan malah ada yang marah namun ada juga yang menerima kritikan beliau.

"Dalam 'grup WhatsApp' pemimpin UMNO, ada yang marah dan 'in denial' tapi ramai juga yang berjiwa besar menerima kritikan Pengerusi Majlis Profesor Negara (Shamsul Amri Baharuddin) itu.

ARTIKEL BERKAITAN: UMNO lemas di kolam yang cetek

"Saya mendapati ia benar. Saya merasakan UMNO perlu mendengar, jika tidak UMNO bakal hanyut semakin jauh," katanya di laman Facebooknya pada Khamis.

Annuar berkata, masih ramai yang masih dibuai mimpi lama, ketika rakyat sudah jauh berubah, masih ramai selesa dalam kepompong lama, sedangkan parti lain telah merekayasa parti mereka masing masing.

Menurutnya, kekalahan parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) seolah tidak memberi sebarang pengajaran malah sebarang teguran yang dilontarkan dikira pembelotan dan perlu di singkirkan.

"Namun saya merasakan belum terlambat untuk membangkitkan kesedaran dalam UMNO. Malah telah ada gelombang kesedaran baharu yang mampu membesar.

Artikel Berkaitan:

"Diperlukan adalah keberanian serta keihlasan dalam perjuangan. Ya... lemas di kolam cetek kerana hilang upaya atau terlena di kolam renang, bukan tiada kepandaian berenang. Pulihkan keupayaan, bangunlah dari lena yang panjang," katanya.

Terdahulu, dalam ruangan pendapat yang disiarkan oleh Sinar Harian pada Rabu, Shamsul Amri menyifatkan UMNO kini diibarat sebuah parti yang lemas di kolam cetek, serta masih terkapai-kapai mencari haluan, selepas tewas pada Pilihan Raya Umum 2018.

Pengerusi MPN itu berkata, kehilangan kuasa, keseluruhan organisasi UMNO mula terungkai dari atas hingga ke bawah, seperti si latah yang disergah menanggal pakaian satu demi satu.

Katanya lagi, Majlis Kerja Tertinggi (MKT) yang sekian lamanya diibaratkan jantung dan otak UMNO, tidak berfungsi dengan baik hingga mengakibatkan parti itu dikuasai pihak-pihak yang berkepentingan peribadi.

“Selepas PRU14, UMNO yang kini bersendirian mula terpecah kepada beberapa ‘kelompok strategik’ setiapnya diikat oleh kepentingan-kepentingan tertentu oleh para anggota dalam kelompok itu kerana pimpinan Pusat kian di MKT tidak terpusat, malah tidak keharuan.

“Di peringkat bahagian dan cawangan UMNO, seperti retak menanti belah, keadaan perselisihan pra-PRU14 menjana pecahan dalaman yang berserpihan. Ramai yang masih menjadi ahli berdaftar tetapi telah tidak mengundi UMNO atau BN dalam PRU14,” katanya dalam catatan berkenaan.