X

Kindly register in order to view this article
!

UMNO lemas di kolam yang cetek

Bulan Mei 2021 ini, usia UMNO cukup 75 tahun.
A
A

UMNO parti kotai. Tertubuh pada tahun 1946 di pekarangan istana sebagai suatu gabungan beberapa kumpulan sosial Melayu daripada golongan profesional, guru dan aktivis nasionalis yang anti-Malayan Union.

Bulan Mei 2021 ini, umurnya cukup 75 tahun. Setelah menjadi parti peneraju negara untuk lebih 60 tahun seharusnya sudah matang, terutamanya para pemimpinnya, tetapi jelasnya tidak.

UMNO kini umpama lemas di kolam yang cetek. Terkapai-kapai mencari haluan. Selepas tewas pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) keseluruhan organisasi UMNO mula terungkai dari atas hingga ke bawah, seperti si latah yang disergah menanggal pakaian satu demi satu.

Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO yang untuk sekian lamanya adalah jantung dan otak UMNO sekali gus tiba-tiba terencat. Oleh kerana hospital politik seperti Institut Jantung Negara (IJN) tiada, penyakit UMNO tidak dirawat, semakin hari semakin parah.

Selepas PRU14, UMNO yang kini bersendirian mula terpecah kepada beberapa ‘kelompok strategik’ setiapnya diikat oleh kepentingan-kepentingan tertentu oleh para anggota dalam kelompok itu kerana pimpinan pusat kian di MKT tidak terpusat, malah tidak keharuan.

Di peringkat bahagian dan cawangan UMNO, seperti retak menanti belah, keadaan perselisihan pra-PRU14 menjana pecahan dalaman yang berserpihan. Ramai yang masih menjadi ahli berdaftar tetapi telah tidak mengundi UMNO atau BN dalam PRU14.

Pemimpin UMNO yang dulu menang majoriti lebih 10,000 undi di kawasan Parlimen masing-masing kini tewas dengan bilangan undi yang hampir sama.

Dengan tekanan dari luar, sebilangan wakil rakyat UMNO, Parlimen dan ADUN, meloncat masuk Parti Bersatu yang ketika itu dalam Pakatan Harapan (PH) selepas PRU14. Khabarnya mereka dikejar bayang-bayang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Kluster mahkamah

MKT semakin lemah kerana Presiden UMNO, beberapa ahli MKT dan pimpinan utamanya terperangkap dalam ‘kluster mahkamah’ menunggu giliran berdepan dengan puluhan tuduhan di mahkamah.

Apabila tamat riwayat kerajaan PH pada Februari 2020 dan muncul kerajaan Pakatan Nasional (PN), apa yang tinggal pada UMNO, yang kini telah bersama Pas membentuk Muafakat Nasional (MN), seolah-olah diberi ‘nyawa kedua.’ Mereka jadi sebahagian daripada kerajaan tapi tanpa sebarang taring.

Dulu, semua menteri UMNO adalah ahli MKT. Kuasa UMNO dengan itu terpusat di MKT. Malah banyak dasar kerajaan tercetus di MKT dan akhirnya dilaksanakan.

Biarpun dikatakan 189 UMNO bahagian inginkan parti itu menolak Bersatu, namun UMNO sekarang tidak sekuat seperti dulu.

Walaupun UMNO bahagian terutamanya, UMNO cawangan, kekal sebagai satu lagi punca kuasa dalam UMNO namun kebanyakannya berpecah-pecah mengikut jalur pimpinan pusat dalam MKT, yang juga terpecah-pecah. Kepala jalur-jalur ini dilabel sebagai warlord.

Kini jurang antara elit UMNO dan akar umbi UMNO jauh sekali dan tak mudah dirapatkan. Biduk lalu, kiambang sudah tidak bertaup lagi. MKT tidak berani membuat sebarang keputusan setelah 189 UMNO bahagian menolak kerjasama dengan Bersatu.

Bila MKT lemah, jurangnya dengan UMNO bahagian dan akar umbi sungguh melebar dan para wakil rakyat UMNO di Parlimen dan ADUN pula kebanyakan membisu, maka satu-satunya jalan keluar adalah mengadakan Perhimpunan Agung UMNO pada 31 Januari.

Perhimpunan Agung UMNO nanti adalah pertemuan antara tiga puak yang lemah, yang sedang mencari-cari kekuatan untuk mengembalikan kesatuan dalam UMNO.

* Profesor Ulung Shamsul Amri Baharuddin, Pengarah KITA,UKM dan Pengerusi, Majlis Profesor Negara (MPN)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!