Melaka mahu muncul antara negeri terbaik patuh SOP PKP

Melaka mahu kekal menjadi antara negeri terbaik dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini yang berkuat kuasa pada 13 Januari hingga 26 Januari depan. - Foto 123RF
Melaka mahu kekal menjadi antara negeri terbaik dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini yang berkuat kuasa pada 13 Januari hingga 26 Januari depan. - Foto 123RF
A
A
A

MELAKA - Melaka mahu kekal menjadi antara negeri terbaik dalam pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini yang berkuat kuasa pada 13 Januari hingga 26 Januari depan.

Ketua Menterinya, Datuk Seri Sulaiman Md Ali berkata, ketika PKP pertama pada tahun lepas, Melaka menjadi antara tiga negeri terbaik di seluruh negara dalam pematuhan SOP PKP dengan kadar lebih 98 peratus.

"Justeru, kali ini saya cukup yakin dan percaya rakyat Melaka juga boleh melakukan perkara yang sama dengan kita terus mematuhi segala peraturan dan SOP yang telah ditetapkan agar akhirnya kita bersama-sama dapat membantu untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19 ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam satu temu bual melalui telefon bagi segmen Bicara Ketua Menteri yang disiarkan secara langsung oleh Melakafm pada Khamis.

Sulaiman berkata, walaupun PKP kali ini menyaksikan kerajaan memberi kelonggaran kepada orang ramai dalam beberapa perkara, itu tidak bermakna mereka boleh bertindak sewenang-wenangnya dan mengabaikan SOP yang telah ditetapkan.

Katanya, antara kelonggaran yang diberikan ialah operasi kedai makan dan gerai penjaja serta proses pembelajaran secara bersemuka bagi pelajar yang akan mengambil peperiksaan awam. - Bernama

Artikel Berkaitan: