Varian B.1.1.7 lebih mudah menular

Varian B.1.1.7
Varian B.1.1.7
A
A
A

SHAH ALAM - Pakar kesihatan mendedahkan mutasi virus Covid-19 dari United Kingdom (UK) dikenali sebagai varian B.1.1.7 lebih cepat berkembang biak di dalam badan individu yang dijangkiti.

Pakar virologi, Profesor Dr Sazaly Abu Bakar berkata, varian B.1.1.7 lebih cepat merebak berikutan perubahan genetik pada virus penyebab Covid-19.

“Perubahan genetik menyebabkan pertukaran asid amino kepada protein yang akan bergabung dengan tapak pada sel hos (orang yang dijangkiti).

“Ini membolehkan virus dengan lebih mudah memasuki sel dan membiak dengan banyak.

“Jutaan virus ini kemudiannya diluahkan ke dalam cecair rembesan pesakit yang menularkan virus seterusnya melalui batuk atau percakapan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Namun, Dr Sazaly yang juga Pengarah Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) Universiti Malaya (UM) berkata, pada ketika ini tiada bukti yang menunjukkan varian B.1.1.7 lebih berbahaya daripada virus yang asal.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Isnin mengesahkan telah mengesan satu kes Covid-19 varian B.1.1.7 yang sebelum ini dilaporkan di negara-negara termasuk UK, Belanda, Singapura, Turki, Filipina dan India.Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, kes tersebut telah dikesan daripada seorang pengembara yang mempunyai sejarah perjalanan ke UK pada Disember 2020.

Sementara itu, mantan Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Perubatan) KKM, Datuk Dr Rohaizat Yon menegaskan, pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) kesihatan adalah kunci utama mengawal penularan Covid-19 tanpa mengira jenis varian.

Artikel Berkaitan:

No Image Caption

“Berhubung varian B.1.1.7 yang mempunyai kadar jangkitan yang cepat, apa yang perlu dan penting untuk dilakukan oleh rakyat adalah mematuhi SOP.

“Semua pengembara dari luar negara akan menjalani kuarantin dan rakyat atau masyarakat juga wajib terus mematuhi SOP.

“Selagi tidak menerima vaksin seperti dijanjikan, kita hanya ada tiga ‘vaksin’ iaitu penjarakkan fizikal satu meter, pemakaian pelitup muka dan kerap mencuci tangan,” kata Dr Rohaizat.

Tegasnya, akibat tidak mematuhi sepenuhnya SOP sedia ada, maka Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) terpaksa dilaksanakan bagi mengawal situasi yang semakin membimbangkan.

Dr Rohaizat yang bersara kali kedua pada 31 Disember lalu berkata, sejak bermulanya gelombang ketiga sekitar bulan September tahun lalu, kes harian Covid-19 mengalami peningkatan ketara sehingga mencecah empat angka bermula bulan Oktober.

“Kalau kita melihat ramalan Institute for Health Metrics and Evaluation (IHME) Amerika Syarikat, pada bulan Februari kita akan mencatatkan 5,000 kes baharu setiap hari,” katanya.

Tambahnya, terdapat empat kategori utama yang perlu diberi perhatian dalam memastikan jangkitan tidak terus berleluasa.

Pertama, kumpulan pekerja; kedua, kumpulan orang kena tahan seperti di penjara; ketiga kumpulan pendatang asing tanpa izin dan keempat, komuniti.