Trump enggan bertanggungjawab kejadian rusuhan

Tindakan pencerobohan dilakukan penyokong Trump ke atas Capitol pada minggu lalu telah menyebabkan beliau kini berdepan desakan meletak jawatan atau disingkirkan. - Foto Agensi
Tindakan pencerobohan dilakukan penyokong Trump ke atas Capitol pada minggu lalu telah menyebabkan beliau kini berdepan desakan meletak jawatan atau disingkirkan. - Foto Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump pada Selasa menafikan bertanggungjawab dalam kejadian para penyokongnya menyerbu bangunan Capitol di Washington DC yang menyebabkan lima kematian pada Rabu minggu lalu.

Menurut AFP, walaupun Trump meminta suasana aman dan tenang diwujudkan semasa melakukan lawatan ke dinding sempadan AS serta Mexico di Texas, keseluruhan mesejnya mengenai kejadian itu menunjukkan beliau enggan mengambil tanggungjawab dalam kejadian berkenaan.

Dewan Perwakilan dijangka mendakwa beliau sebagai Presiden AS pertama dikenakan pendakwaan sebanyak dua kali.

Dalam usul mahu mendakwa Trump itu, Presiden AS tersebut didakwa menggalakkan para penyokongnya menyerbu bangunan Capitol yang menempatkan Dewan Perwakilan dan Dewan Senat AS selepas mendakwa beliau sebenarnya memenangi Pilihan Raya Presiden negara berkenaan dan bukannya Biden.

Para penyokong beliau menyerbu bangunan Capitol, bergaduh dengan polis, menggeledah pejabat-pejabat dan memaksa wakil-wakil rakyat AS untuk meninggalkan sesi mengiktiraf kemenangan Biden dalam Pilihan Raya Presiden pada 3 November tahun lalu.

Biden akan mengangkat sumpah jawatan pada 20 Januari ini.

Bagaimanapun, Trump yang mewakili parti Republikan menegaskan ketika dalam perjalanan ke Texas bahawa setiap orang menganggap ucapannya di sebuah taman dekat Rumah Putih, Washington DC adalah benar-benar sesuai sebelum para penyokongnya berarak ke bangunan Capitol dan melakukan rusuhan.

Beliau juga beranggapan bahawa pendakwaannya yang akan sedang diusahakan oleh wakil-wakil rakyat parti Demokrat itu sebagai 'sambungan daripada mencari kambing hitam teragung dalam sejarah politik'.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Dewan Senat yang kini dikuasai oleh wakil-wakil rakyat daripada parti Republikan sedang menimbangkan untuk mengadakan satu sidang khas dan mendakwa Trump sebelum penggal pemerintahannya berakhir pada 20 Januari ini.

Bagaimanapun, perpecahan pendapat berlaku dalam kalangan wakil-wakil rakyat di Dewan Senat itu.

Menurut akhbar The New York Times, pemimpin majoriti Dewan Senat daripada parti Republikan, Senator Mitch McConnell berkata, beliau percaya Trump tidak melakukan kesalahan.

Sebelum ini, Trump pernah didapati tidak bersalah dalam pendakwaan pertamanya di Dewan Senat pada 2019 apabila beliau dituduh menyalahgunakan kuasa berhubung dakwaan menekan Presiden Ukraine bagi membantunya untuk dipilih semula sebagai Presiden AS dalam pilihan raya negara itu pada tahun 2020. - Agensi