Ancaman siri protes bersenjata di AS

Kira-kira 6,000 anggota Pengawal Negara daripada enam negeri telah tiba di Washington. - Foto: Agensi
Kira-kira 6,000 anggota Pengawal Negara daripada enam negeri telah tiba di Washington. - Foto: Agensi
A
A
A

WASHINGTON - Siri protes bersenjata dirancang di 50 negeri seluruh Amerika Syarikat (AS) selepas negara itu digemparkan dengan insiden rusuhan ganas dilancarkan penyokong Presiden Donald Trump pada minggu lalu.

Perkara itu didedahkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) berdasarkan maklumat yang diperoleh mereka yang mendakwa kira-kira 16 kumpulan akan menyertai demonstrasi tersebut di Washington pada Sabtu ini.

“Mereka telah memberi amaran keras, satu pemberontakan secara besar-besaran akan dilancarkan jika Konges cuba untuk menyingkirkan Trump melalui Pindaan ke-25 Perlembagaan AS,” menurut buletin dalaman FBI.

Susulan ancaman yang semakin meningkat, seramai 15,000 Pengawal Negara akan dikerah untuk mengawal keselamatan di Washington selain menubuhkan pusat pemeriksaan di sekitar bandar terbabit bagi mengelakkan kejadian rusuhan ganas sama di Capitol daripada berulang.

Dalam perkembangan lain, Pemangku Setiausaha Keselamatan Dalam Negeri, Chad Wolf meletak jawatan pada Isnin dan menjadi anggota Kabinet ketiga di bawah pentadbiran Trump yang akan tamat pada 20 Januari ini yang berbuat demikian selepas pengunduran Setiausaha Pengangkutan, Elaine Chao dan Setiausaha Pendidikan, Betsy DeVos pada minggu lalu.

Berikutan negara itu masih berdepan lonjakan kes jangkitan Covid-19, pemimpin daerah Columbia, Maryland dan Virginia telah mengeluarkan kenyataan bersama menyarankan rakyat Amerika supaya tidak menghadiri majlis pelantikan bakal Presiden ke-46 AS, Joe Biden yang bertemakan 'Amerika Bersatu'.

Jawatankuasa pelantikan Biden bagaimanapun menyatakan Biden berhasrat untuk melakukan acara itu di tempat terbuka bagi menggesa rakyat bersatu di tengah-tengah krisis politik dan kesihatan yang semakin meruncing.

"Saya tidak gentar untuk mengangkat sumpah di luar," kata Biden pada Isnin selepas diberikan suntikan dos kedua vaksin Pfizer-BioNTech.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, majlis angkat sumpah di lokasi terbuka itu bakal mengimbau kembali pelantikan Presiden ke-16, Abraham Lincoln pada ambang perang saudara yang berarak ke Capitol yang ketika itu masih dalam pembinaan dengan kawalan ketat pasukan berkuda dan infantri.

Bekas Naib Presiden itu juga merancang untuk mengadakan lawatan ke Makam Kebangsaan Arlington bersama tiga bekas Presiden AS, Bill Clinton, George W Bush dan Barack Obama yang dijangka menambah satu lagi cabaran bagi melindungi keselamatan kepada agensi penguatkuasaan undang-undang Persekutuan. - Agensi