Jadual Banci Malaysia 2020 secara bersemuka disusun semula

Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin
A
A
A

SHAH ALAM - Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) fasa kedua melibatkan temuramah secara bersemuka yang dijadual bermula 20 Januari 2021 hingga 6 Februari 2021 akan disusun semula.

Ketua Perangkawan Malaysia yang juga Pesuruhjaya Banci 2020, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, tindakan ini diambil susulan pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Isnin.

Menurut Uzir, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sedang meneliti semula gerak kerja Banci Malaysia 2020 dalam menyokong usaha membendung dan memutuskan rantaian penularan jangkitan Covid-19 dalam negara.

“DOSM sedang meneliti semula gerak kerja Banci Malaysia 2020 termasuk membuka semula platform e-Census (Banci Dalam Talian).

“Justeru orang ramai yang masih belum membuat pengisian banci boleh mengambil peluang untuk mengisi maklumat banci di atas,” katanya menerusi satu kenyataan di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, tarikh baharu pelaksanaan Banci Malaysia 2020 fasa kedua di seluruh negara akan dimaklumkan kepada umum kelak.

Dalam pada itu Mohd Uzir berkata, bagi kawasan-kawasan selain PKP, pelaksanaan aktiviti di lapangan berkaitan Banci Malaysia 2020 dan survei-survei rutin DOSM masih diteruskan dengan pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP).

Antara SOP termasuk melibatkan pengemaskinian penyenaraian tempat kediaman, aktiviti bersama komuniti dan penganjuran klinik e-Census di lokasi-lokasi terpilih.

Artikel Berkaitan:

Justeru, orang ramai dan syarikat-syarikat dimohon untuk terus memberi kerjasama kepada DOSM.