Mendepani bencana banjir

No Image Caption
A
A
A

SELAIN Covid-19, Malaysia kini dilanda musibah banjir. Dianggarkan 29,800 km persegi atau sembilan peratus daripada keluasan negara adalah kawasan yang mudah dilanda banjir.

Peningkatan kejadian banjir luar biasa adalah amaran bahawa kelestarian alam sekitar semakin terjejas.

Ia akan terus berlaku jika kita terus leka mengejar pembangunan tanpa memikirkan impaknya terhadap kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan masyarakat.

Justeru, kita perlu menilai kembali bentuk dan corak perhubungan dengan alam sekitar.

Banjir yang luar biasa berkaitan dengan kerosakan atau penerokaan alam sekitar yang juga luar biasa.

Wujud trend membimbangkan berkaitan fenomena banjir kerana frekuensinya semakin kerap dan impaknya semakin buruk akibat pembangunan pesat di kawasan dataran banjir, pembukaan tanah yang berluasa dan penebangan hutan.

Kepesatan pembangunan antara 0 hingga 40 peratus mengakibatkan kadaralir bertambah sebanyak 190 peratus, manakala kelajuannya bertambah dua kali ganda.

Kadar hakisan yang meningkat turut menyebabkan pertambahan kelodak dalam sungai sehingga mencetekkan dasarnya menyebabkan sungai hilang keupayaannya iaitu mempunyai kapasiti lebih rendah, tidak berupaya menampung air yang bertambah dan menyebabkan air melimpahi tebing.

Artikel Berkaitan:

Infrastruktur saliran seperti longkang juga tidak mencukupi, malah penyenggaraan sistem perparitan yang tidak sempurna turut menyumbang kepada kekerapan kejadian banjir.

Walaupun banyak usaha mencegah dan mengurangkan risiko banjir dilaksanakan, impaknya kelihatan semakin bertambah.

Malaysia seharusnya berupaya mewujudkan sistem yang mampu menghindar atau sekurang-kurangnya meminimumkan bencana banjir melalui kemampuan ilmu dan teknologi sedia ada.

Namun, antara kekangan utama adalah kos terlalu tinggi dalam pengurusan banjir.

Dalam aspek pengurusan banjir, kita boleh mencontohi pendekatan negara lain yang memberi perhatian khusus untuk menguruskan elemen risiko dan bukannya menguruskan bencana iaitu aspek-aspek yang menyumbang kepada bencana banjir.

Pelaburan

Di Belanda, disebabkan letakannya di bawah paras air laut, maka potensi untuk berlaku banjir amat tinggi.

Kerajaannya membuat pelaburan untuk mengurangkan risiko banjir secara drastik melalui program Room for the River.

Matlamat utamanya bukan sahaja mencegah banjir tetapi pada masa yang sama memelihara alam sekitar dan kualiti sungai, sekali gus memastikan penduduk tidak perlu berpindah.

Di Tokyo, Jepun, mereka mempunyai sistem terowong bawah tanah yang mampu menyimpan 200 tan air bermula dari Showa sehinggalah ke Kasukabe di Saitama dalam usaha mengelak banjir di kawasan bandar.

Paling sofistikated adalah penyelesaian yang diambil di Kota London apabila membelanjakan kos tinggi bagi pembinaan sistem tambatan banjir di muara Sungai Thames bagi mengawal paras air yang keluar dan masuk ke kota itu.

Di Malaysia, sistem saliran sedia perlu diteliti semula selaras dengan peningkatan jumlah penduduk termasuk menambah baik sistem amaran awal banjir yang dilihat kurang berkesan.

Program Ramalan dan Amaran Banjir Negara (PRABN) memerlukan sistem itu diteliti khususnya bagaimana mesej dapat sampai dan mampu diakses penduduk sebelum banjir berlaku.

Menambah baik komunikasi dan kesedaran masyarakat, persatuan dan sektor swasta juga penting dalam meningkatkan kesiapsiagaan, respons serta pemulihan bencana banjir.

Usaha berterusan perlu dilaksana untuk meningkatkan kesedaran, membina keupayaan dan memperkasa kumpulan tersebut dalam mengambil langkah awal bagi menghadapi banjir.

Akhirnya, strategi komunikasi dan platform antara agensi berkaitan dengan pengurusan banjir dan antara kerajaan dengan rakyat juga harus diwujudkan untuk membolehkan penyelarasan yang lebih baik serta respons yang lebih pantas dalam menangani banjir.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Kesejahteraan dan Kesihatan Sosial Belia Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS), Universiti Putra Malaysia