X

Kindly register in order to view this article
!

PM umum PKP bersasar mulai 13 Januari

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan mengumumkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bersasar bermula 13 Januari 2021 (Rabu) untuk mengatasi lonjakan kes Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Keputusan itu dibuat susulan kes harian positif Covid-19 di negara ini kekal empat angka direkodkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Pelaksanaan itu melibatkan enam buah negeri iaitu Selangor, Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan (Kuala Lumpur, Putrajaya, Labuan), Melaka, Johor dan Sabah.

Sementara, PKP Bersyarat akan melibatkan enam buah negeri iaitu Pahang, Perak, Negeri Sembilan, Kedah Terangganu dan Kelantan.

PKP Pemulihan pula akan dilaksanakan di Perlis dan Sarawak.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, negeri-negeri yang dikenakan PKP adalah negeri yang berisiko tinggi hasil penilaian risiko oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Tambah beliau, tahap keupayaan perkhidmatan kesihatan di negeri terbabit telah hampir mencapai kapasiti maksimum.

"KKM akan membuat penilaian risiko secara berterusan bagi memutuskan sama ada pelaksanaan PKP ini akan ditamatkan atau diteruskan sebelum tempoh dua minggu berkenaan tamat," katanya dalam Perutusan Khas Perdana Menteri yang disiarkan secara langsung di semua stesen televisyen pada Isnin.

Jelas beliau, keputusan itu dibuat berdasarkan penilaian risiko oleh KKM, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pelbagai kementerian, agensi serta nasihat pakar-pakar kesihatan awam di dalam negara.

"Kerajaan bersetuju dengan pandangan bahawa satu tindakan yang tegas perlu diambil untuk memutuskan rantaian jangkitan penularan virus Covid-19," ujarnya.

Muhyiddin berkata, dalam menangani pandemik Covid-19 ini, amat penting bagi mana-mana negara untuk mengelakkan insiden peningkatan kes yang mendadak dalam tempoh masa yang singkat.

"Peningkatan jumlah pesakit secara mendadak akan melumpuhkan kapasiti sistem kesihatan sedia ada dalam sekelip mata. Ia tidak lagi mampu untuk menampung jumlah pesakit yang memerlukan rawatan dan kes-kes kematian akan terus meningkat.

"Tidak mudah untuk saya mengatakan semua ini tetapi inilah realiti yang berlaku sekarang dengan berbagai kemungkinan yang terpaksa kita hadapi sekiranya dibiarkan berlarutan tanpa sebarang campur tangan atau intervensi kesihatan awam yang lebih ketat," jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!