Tiada gabungan parti lain mampu bentuk kerajaan baharu: Hadi

Abdul Hadi (tengah) ketika hadir pada sesi libat urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama peladang kawasan Muda di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, Alor Setar pada Isnin.
Abdul Hadi (tengah) ketika hadir pada sesi libat urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama peladang kawasan Muda di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar, Alor Setar pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih kukuh walaupun kini berdepan beberapa kemelut termasuk penarikan sokongan daripada ahli Parlimen UMNO.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, sehingga kini tiada gabungan parti-parti lain mampu membentuk kerajaan baharu walaupun sebelum ini beberapa siri gerakan diketuai Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim dan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang mahu menumbangkan kerajaan PN untuk menubuhkan kerajaan baharu.

Menurutnya, blok pembangkang kini dilihat bercakaran sesama sendiri serta tiada persefahaman.

“Sehingga kini kerajaan PN masih kuat. Bermakna parti-parti lain tidak boleh tubuhkan kerajaan. UMNO tak boleh terima DAP, DAP tak boleh terima UMNO. Tun Mahathir tak terima Anwar, Anwar tak terima Tun Mahathir.

"Sebelum ini, Anwar hantar 'cek kosong' (dokumen kosong) kepada Yang di-Pertuan Agong. Hantar kosong, tandatangan (sokongan ahli Parlimen yang menyokong) tak ada. Jadi itu tiada nilai.

"Ini bermakna jika PN tak terjejas, parti lain tak dapatlah tubuh kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas Sesi Libat Urus Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah bersama peladang kawasan Muda di Ibu Pejabat MADA, Ampang Jajar di sini pada Isnin.

Sehubungan itu, Abdul Hadi berkata, Pas kekal dengan pendirian untuk mempertahankan kerajaan PN selain memperkasakan kerjasama bersama UMNO menerusi Muafakat Nasional (MN).

“Kerajaan PN masih kekal sehingga kini. Pas tetap akan pertahankan PN dan perkasakan MN. Kita anggap kerajaan sedia ada masih kukuh dan kuat,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim menyarankan kepada Muhyiddin supaya segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah setelah didakwa hilang sokongan majoriti ahli Parlimen.

Menurutnya, Muhyiddin hanya mempunyai 110 sokongan ahli Parlimen selepas Ahli Parlimen Machang, Ahmad Jazlan Yaakub tidak lagi menyokongnya.

Selain itu, Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abd Rahman juga percaya lebih ramai wakil rakyat daripada UMNO akan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN seperti dilakukan Ahmad Jazlan.

ARTIKEL BERKAITAN: PM perlu menghadap Agong: MP Pasir Gudang

Ada lagi wakil rakyat UMNO tarik sokongan: Tajuddin

Tak perlu PRU15 sekarang, bentuk kerajaan perpaduan baharu selesai krisis