Kisah Saffiyah jentik kesedaran masyarakat kurangkan kes Covid-19

Saffiyah ketika berada di HKL.
Saffiyah ketika berada di HKL.
A
A
A

NUR SAFFIYAH Muhammad Ifwan, anak kecil berusia 5 tahun yang disahkan Covid-19 menjadi viral apabila cucu saya ini dengan berani dan tenangnya menaiki ambulans untuk dibawa ke pusat kuarantin di Hospital Kuala Lumpur (HKL).

Sebelum menaiki ambulans, ibunya, Ira Hazwani berpesan supaya Saffiyah jaga diri dan dia akan jumpa ayahnya di hospital. Anak kecil ini juga nampak tenang dan berpesan pada ibunya dengan kata-kata: “Mama pun jaga diri and love u”.

Saffiyah berjangkit Covid-19 daripada ayahnya (menantu) yang mendapat jangkitan selepas ujian swab di tempat kerjanya di Putrajaya.

Ibunya dan adik kecil Saffiyah apabila menjalani ujian swab didapati negatif dan ayahnya telah pun menjalani kuarantin di MAEPS di Serdang.

Saffiyah memberitahu ibunya yang dia tidak takut untuk menaiki ambulans seorang diri kerana dia sangat rindukan ayahnya. Dia tahu ambulans berkenaan akan membawa dia bertemu ayahnya. Saffiyah memang rapat dengan ayahnya.

Saffiyah beritahu ibunya dia nak peluk ayahnya kerana rindu dan perjalanan menaiki ambulans untuk bertemu ayahnya adalah sesuatu yang dia nantikan.

Pihak KKM telah mengatur supaya ayah Saffiyah dapat ditukarkan ke pusat kuarantin di HKL untuk menjaga anaknya yang positif Covid-19 kerana ibunya tidak dapat menjaga Saffiyah kerana menjaga seorang lagi adik kecilnya di rumah.

Dalam pada itu ibu Saffiyah dan adiknya Nur Azaleeya 3 tahun dikuarantin di rumah untuk tempoh 14 hari.

Artikel Berkaitan:

Kes Covid-19 Saffiyah ini menjentik hati ramai masyarakat yang mula sedar betapa covid-19 ini bukan satu penyakit yang boleh dianggap remeh.

Ramai yang menitis air mata melihat kecekalan Saffiyah anak kecil menaiki ambulans seorang diri. Ramai menyuarakan rasa insaf kepada saya dan ingin menjaga ahli keluarga dengan baik agar tidak dijangkiti Covid-19.

Dengan peningkatan kes Covid-19 yang telah mencecah 3,000 kes sehari ianya bukan sesuatu yang boleh dipandang ringan.

Apabila ada ahli keluarga yang dijangkiti penyakit ini ianya mungkin akan menjangkiti anak-anak yang masih kecil yang tidak tahu mengenai bahayanya Covid-19.

Ramai yang tidak tahu apa prosedurnya jika ada ahli keluarga terutama anak-anak dijangkiti Covid-19 dan bagaimana penjagaannya di hospital.

Perkara ini sebenarnya bukan mudah. Pihak hospital memang membenarkan ibu bapa menjaga anak-anak yang dijangkiti Covid-19 ini, namun adakalanya masalah lain di rumah membuatkan mereka yang dijangkiti Covid-19 berasa sukar untuk membahagikan masa menjaga anak-anak di rumah dan di hospital.

Ada kes ibu bapa (negatif) yang menjaga anak-anak yang disahkan Covid-19 dan perlu menjalani ujian swab setiap tiga hari kerana ada kontak rapat dengan pesakit Covid-19.

Sebagai nenek Saffiyah, mendapat perkhabaran ahli keluarga dijangkiti Covid-19 adalah sangat menyedihkan dan membimbangkan.

Pada masa itu macam-macam perasaan yang melanda fikiran. Ada ketika menangis dan buntu tidak tahu nak buat apa. Macam mana nasib mereka nanti. Kalau pergi hospital adakah semakin baik atau sebaliknya, macam-macam yang bermain di fikiran ketika itu.

Umpamanya jika ibu bapa didapati positif Covid-19 dan ada anak yang positif dan ada yang negatif. Bagaimana ana-anak kecil nak ditinggalkan di rumah ketika ibu bapa dan adik beradik yang lain menjalani tempoh kuarantin.

Banyak kes menyayat hati tentang Covid-19 ini. Lebih-lebih lagi jika ianya menjangkiti anak-anak kecil dan seluruh keluarga. Tapi tak banyak di uar-uarkan di media kerana ramai yang sudah malas ambil tahu tentang Covid-19 kerana tekanan hidup yang memaksa mereka menerima penyakit ini sebagai norma baharu hidup mereka.

Bagaimanapun ini cerita benar keluarga saya. Bagi anak saya Ira Hazwani apabila suaminya Muhammad Ifwan terlebih dahulu disahkan positif Covid-19 dan dikuarantinkan, dia dan anak-anak pula dibawa untuk menjalani ujian swab.

Saffiyah dan bapanya setelah dipertemukan di HKL.
Saffiyah dan bapanya setelah dipertemukan di HKL.

Bukan mudah untuk bawa anak-anak menjalani ujian swab ketika suami menjalani tempoh kuarantin. Macam-macam perangai jika anak-anak masih kecil. Kemudian apabila keputusan swab diperoleh dan salah seorang anaknya positif Covid-19, Ira Hazwani lebih buntu bagaimana nak menjaga dua-dua anaknya apabila seorang positif dan seorang negatif.

KKM menelefon Ira Hazwani untuk memberitahu Saffiyah akan dibawa ke pusat kuarantin. Ira Hazwani menjadi buntu untuk mencari solusi penjagaan anak-anaknya.

Beliau menelefon saya untuk meminta bantuan. Mujur saya ada rakan yang anaknya seorang doktor yang kini bertugas di Hospital Sungai Buloh.

Dr Hannan meminta anak saya menelefon Pegawai Kesihatan Daerah untuk bercerita mengenai masalah anaknya yang memerlukan ayahnya menjaga Saffiyah di pusat kuarantin yang sama.

Kerjasama KKM memang terbaik dan sangat pantas. PKD mengaturkan perpindahan pusat kuarantin menantu saya Muhammad Ifwan dari MAEPS Serdang ke HKL dan dalam masa yang sama mengaturkan perjalanan ambulans untuk membawa Saffiyah ke HKL bertemu ayahnya.

Saat paling menggembirakan Saffiyah apabila dia dapat berjumpa ayahnya di HKL dan kami sekeluarga berasa lega kerana Saffiyah akan dijaga oleh ayahnya dalam tempoh kuarantin selama 14 hari.

Sekarang kedua-duanya telah berada di HKL untuk menjalani proses kuarantin. Kami hanya mengirim doa agar mereka cepat sembuh dan boleh pulang ke pangkuan keluarga.

Pengajaran daripada kes kisah Saffiyah ini ialah masyarakat perlu mengambil langkah tegas membendung kes Covid-19.

Jangan menganggap pandemik ini perkara ringan. Paling menyedihkan apabila Covid-19 ni menjangkiti anak-anak kecil. Kasihan mereka kerana kesilapan orang dewasa, anak-anak yang terpaksa menanggung deritanya.

Covid-19 bukan perkara remeh kerana ia membabitkan nyawa dan keselamatan pesakit. Tempoh kuarantin 14 hari bukan tempoh yang pendek bagi kanak-kanak.

Mereka mungkin tertekan kerana terpaksa berkurung dalam tempuh kuarantin berkenaan. Oleh itu kurangkan membawa anak-anak kecil berjalan atau makan di luar.

Kanak-kanak dan orang tua paling berisiko kepada penyakit ini. Semoga kita semua dapat membantu KKM mengurangkan kes Covid-19 dan membantu frontliners meringankan beban mereka berhadapan dengan ribuan kes setiap hari. Pastikan kita menjadi masyarakat yang mengurangkan data statistik Covid-19.

* Haryati Ariffin ialah nenek Saffiyah yang juga Pensyarah Kanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media UiTM Shah Alam.