Jangkitan Covid-19 lebih pantas jika sekolah dibuka

Ahmad Fadhli Shaari
Ahmad Fadhli Shaari
A
A
A

SHAH ALAM - Pembukaan semula sekolah pada 20 Januari ini mendedahkan kepada kemungkinan berlakunya penularan Covid-19 dengan lebih pantas.

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari berkata, beliau bersetuju dengan saranan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak supaya sesi persekolahan ditangguhkan.

Menurutnya, kerisauan itu turut berlaku sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dilaksanakan bahkan lebih membimbangkan dengan aktiviti kempen yang sama sekali tidak dapat ditolak.

“Sudah tentu jika kita bimbang dengan penularan wabak ekoran pembukaan sesi persekolahan, begitulah juga kita bimbang jika PRU15 diadakan.

“Ini kerana ia akan lebih mendedahkan rakyat kepada risiko yang sangat tinggi,” katanya menerusi Facebook miliknya pada Ahad.

Pada Sabtu, Najib menyarankan agar permulaan sesi persekolahan 2021 ditangguhkan selepas Cuti Tahun Baharu Cina.

Menurutnya, penangguhan itu perlu diambil kira memandangkan situasi keadaan banjir belum reda selain kes penularan Covid-19 yang semakin teruk dan ura-ura pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketat di beberapa negeri zon merah.

Dalam pada itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Adham Baba berkata, keutamaan ketika ini adalah memberi tumpuan menguruskan pandemik tersebut yang masih belum selesai dan banjir yang terus melanda di beberapa negeri.

Artikel Berkaitan:

"Jadi adalah tidak wajar dan tidak sesuai mengadakan PRU15 pada ketika ini. Isu yang dibangkitkan ini (adakan PRU15) bukan keutamaan dan (jika perlu) adakan survey daripada rakyat dan pihak media juga boleh melihat perkara ini," katanya.