X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 16 Oktober 2021

PN masih kerajaan sah: Takiyuddin

Takiyuddin
A
A

SETIU – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin masih sebuah kerajaan yang sah walaupun Ahli Parlimen Machang, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub menarik sokongan kepada PN.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, PN mempunyai sokongan dan majoriti cukup dari kalangan Ahli Parlimen berbanding pembangkang bagi membolehkan kerajaan terus berfungsi.

“Saya dengar (penarikan sokongan Ahmad Jazlan) dari media, sebagai seorang menteri saya belum dapat secara rasmi dan saya tidak faham apa motif dan matlamat dia.

“Apa pun kerajaan yang ada sekarang adalah kerajaan yang 'valid' (sah). Kita mempunyai cukup sokongan, siapa lagi yang lebih dari kita?” Katanya selepas mengadakan lawatan ke bangunan baharu Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu di Sungai Tarom, Permaisuri pada Ahad.

Takiyuddin (kanan) melihat suasana Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu yang mula beroperasi di lokasi baharu.
Takiyuddin (kanan) melihat suasana Mahkamah Sesyen dan Majistret Setiu yang mula beroperasi di lokasi baharu.

Sinar Harian pada Sabtu melaporkan selepas melepaskan jawatan Pengerusi Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) pada Sabtu, Ahmad Jazlan mengumumkan menarik diri daripada menyokong kerajaan PN.

Ahmad Jazlan berkata, keputusan menarik sokongan terhadap kerajaan kepimpinan, Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut dibuat tanpa desakan daripada mana-mana pihak.

Menurut Takiyuddin yang merupakan Setiausaha Agung Pas, kerajaan PN tidak terjejas dengan pengumuman dibuat Ahmad Jazlan dan akan terus melaksanakan tanggungjawab kepada rakyat melalui organisasi kerajaan.

“Sejak PM angkat sumpah pada bulan Mac sehingga hari ini, rakyat boleh lihat bagaimana kerajaan ini berfungsi dengan baik dalam melaksanakan tanggungjawab dan kita akan terus berfungsi beri khidmat terbaik,” katanya.

Parlimen Malaysia mempunyai 222 kerusi dan daripada jumlah itu, 110 merupakan Ahli Parlimen yang menyokong PN, 108 kerusi milik pembangkang, dua berpendirian bebas manakala dua lagi kosong selepas kematian penyandangnya.

ARTIKEL BERKAITAN Ahmad Jazlan tarik sokongan kepada kerajaan PN


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!