SPRM diminta siasat pemilihan pemohon PPR Jerlun: Mukhriz

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kupon Bantuan Pakaian Sekolah sempena Program Back To School Parlimen Jerlun di Pusat Khidmat Parlimen Jerlun, di sini, pada Sabtu.
Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir (kiri) pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kupon Bantuan Pakaian Sekolah sempena Program Back To School Parlimen Jerlun di Pusat Khidmat Parlimen Jerlun, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

JERLUN - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) diminta menyiasat berhubung urusan pemilihan penerima rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) Jerlun di Ayer Hitam, di sini, bagi mengesan sekiranya wujud unsur penyelewengan.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, senarai nama pemohon yang berkelayakan menduduki unit rumah PPR Jerlun akan dimuktamadkan pada Isnin ini namun sebahagian senarai nama pemohon asal dipercayai telah dirombak.

Menurutnya, di bawah pentadbiran beliau, pihaknya melakukan proses pemilihan yang telus bermula dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK);penghulu; Pejabat Daerah; Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri diikuti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Bagaimanapun, projek berkenaan yang telah siap hampir dua tahun belum diduduki penghuni dan kita difahamkan pemohon asal PPR Jerlun tidak dipanggil melalui proses temuduga untuk mengenalpasti kelayakan mereka menduduki unit rumah PPR tersebut.

"Kemudian, kita dapat makluman bahawa ada senarai nama pemohon baharu yang akan dimuktamad pada 11 Januari ini," katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kupon Bantuan Pakaian Sekolah sempena Program Back To School Parlimen Jerlun di Pusat Khidmat Parlimen Jerlun, di sini, pada Sabtu.

Mukhriz berkata, pihaknya bimbang nasib 630 pemohon PPR Jerlun sebelum ini yang membuat permohonan untuk mendiami unit rumah berkenaan memandangkan ada sebilangan nama dikatakan gugur dari senarai baharu.

"Pada pandangan saya, ada pemohon dari senarai nama baharu tidak layak untuk menduduki PPR itu kerana memiliki pendapatan lebih RM3,000, penduduk luar dan ada pemohon yang diluluskan permohonan adalah dari keluarga sama,"katanya.

Menurut Muhkhriz, beliau tertanya-tanya mengapa penduduk yang merupakan permastautin tetap tidak layak tetapi penduduk dari luar kawasan berpeluang mendiami rumah PPR itu.

Artikel Berkaitan:

"Susulan itu, pemohon asal rumah PPR Jerlun membuat desakan supaya mereka dapat ditemuduga segera dan jika tidak layak dapat dimaklumkan kepada mereka supaya tidak kecil hati,"katanya.

Tambah beliau, turut mengejutkan, senarai nama pemohon baharu yang layak dikatakan dipilih secara dalam talian.

Beliau berkata, isu-isu sedemikian membuatkan dirinya terfikir samada penyelewengan berlaku hingga siasatan patut dilakukan oleh SPRM berhubung pemilihan penghuni PPR Jerlun itu.

"Saya tidak pasti samada kami di pusat khidmat Parlimen layak untuk membuat laporan SPRM namun lebih sesuai sekiranya pemohon rumah PPR Jerlun sendiri yang membuat laporan itu.

"Walaupun begitu, jika tidak ada aduan sekalipun tetapi sekiranya ada perkara yang meragukan, maka SPRM boleh melakukan siasatan dan kita mohon supaya SPRM berkenaan dapat melakukannya," kata beliau lagi.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan pemohon rumah PPR Jerlun memohon Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor dan kerajaan Pusat campur tangan dalam isu permohonan rumah PPR Jerlun yang belum ada maklum balas walaupun telah siap sejak Julai 2019.