X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia perlu pusat fraksinasi plasma untuk hasilkan sendiri PDMPs

Dr Adham (tengah) menyaksikan pertukaran dokumen dalam Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Pusat Pengumpulan Darah di HSA, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A

JOHOR BAHRU - Malaysia memerlukan sebuah Pusat Fraksinasi Plasma Kebangsaan (PFPK) bagi membolehkan negara menghasilkan dan memproses sendiri Plasma-derived medicinal products (PDMPs).

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba berkata, PFPK nanti bukan sahaja dapat memproses PDMPs tetapi juga mengadakan pemindahan teknologi dalam menghasilkan elemen-elemen penting dalam darah.

"Antaranya menghasilkan elemen albumin dan immunoglobulin (IV Ig). Bagi rawatan kritikal kita perlukan PDMPs yang mana kebanyakannya ketika ini kita dapat daripada pasaran biasa.

"Terkini kita hantar darah untuk diproses di Australia, kita mengambil PDMPs itu dari Australia kerana kita telah buat perjanjian awal untuk dibekalkan PDMPs.

"Kita menghantar 80,000 pek darah setiap tahun ke Australia untuk diproses. Untuk itu kerajaan mengalu-alukan sekiranya dapat diadakan PFPK sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Projek Naik Taraf Pusat Pengumpulan Darah Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Ketua Setiausaha Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Datuk Dr Chen Chaw Min, Pengarah Kerja Kesihatan Jabatan Kerja Raya (JKR), Dr Azman Md Hashim dan Pengarah Kesihatan Negeri Johor, Datuk Dr Aman Rabu.

Dr Adham berkata, penubuhan PFPK itu adalah dengan kerjasama Commonwealth Serum Laboratory (CSL) di Australia dan pelan pembinaan loji fraksinasi plasma yang pertama adalah di bandar Enstek, Sepang, Selangor.

Katanya, pihak KKM ada menerima beberapa cadangan daripada syarikat tempatan untuk mendirikan kilang fraksinasi plasma pertama dalam negara bagi menggantikan CSL sebagai kilang mengeluarkan produk plasma bagi pihak kerajaan.

"Justeru KKM amat mengalu-alukan cadangan syarikat tempatan dan menyokong syarikat tempatan yang berpengalaman, berkelayakan dan memenuhi aspek perundangan serta kawal selia bagi menceburi teknologi fraksinasi plasma ini.

"Dengan adanya kilang tempatan ini, Malaysia dijangka dapat menyediakan sekurang-kurangnya 300,000 liter plasma setahun. Bagi memperkasakan PFPK, kerajaan turut akan melibatkan masyarakat sebagai salah satu pemegang taruh yang penting melalui sesi libat urus," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, negara kekurangan penyumbang darah dan kini dalam usaha untuk mendapatkan bekalan darah yang optimum bagi tahun ini iaitu mencukupi dan boleh dijadikan simpanan untuk kecemasan.

Beliau memberitahu, bagi tahun lalu mereka yang menderma darah berkurangan dan merosot hampir 30 hingga 40 peratus berbanding tahun-tahun sebelumnya.

Jelasnya, ini berpunca daripada kebimbangan penderma dan penerima darah terhadap kualiti darah selain pembatalan program serta kempen derma darah termasuk mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pada 2019 katanya, seramai 743,892 orang menderma darah dan daripada jumlah itu, seramai 77,343 adalah dari Johor manakala penerima darah pula seramai 417,739 orang di seluruh negara.

Menurutnya, ketika ini terdapat 22 pusat kutipan darah di seluruh negara dan satu daripadanya di Pusat Pengumpulan Darah (HSA).


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!