X

Kindly register in order to view this article
!

Dua penyamun kena cekup

Mangsa yang disamun oleh dua suspek dalam kejadian Rabu lalu di kawasan Pasar Sungai Ara. Gambar kecil: Anbalagan
A
A

BAYAN LEPAS - Kegiatan samun tiga lelaki di sekitar kawasan Sungai Ara dengan mensasarkan golongan wanita, warga emas dan warga asing sebagai mangsa berjaya dipatahkan setelah dua daripada mereka ditahan.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan AA Anbalagan berkata, kumpulan suspek yang menaiki motosikal itu akan mencari mangsa yang berjalan kaki, menaiki motosikal dan basikal seorang diri di kawasan sunyi pada waktu pagi sehingga senja.

Bagaimanapun, Anbalagan berkata, aktiviti jenayah mereka berjaya dipatahkan apabila dua daripadanya ditangkap dalam serbuan yang dilakukan di Bayan Lepas di sini pada Khamis.

"Dalam serbuan pada jam 10.30 malam kita berjaya menahan dua lelaki berusia 18 dan 20 tahun kerana disyaki terlibat dengan kegiatan jenayah samun yang dilaporkan sebelum ini.

"Pemeriksaan yang dibuat membawa kepada rampasan sebuah motosikal jenis Honda EX5 digunakan suspek yang mana motosikal itu dilaporkan hilang di kawasan Bayan Lepas pada Oktober lalu," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini.

Anbalagan berkata, kedua-dua suspek bersama seorang lagi yang masih diburu dipercayai terlibat dengan beberapa kes jenayah lain sekitar kawasan Daerah Barat Daya dan Timur Laut.

Malah katanya, semakan polis mendapati kedua-dua suspek yang tidak bekerja itu turut mempunyai rekod jenayah dan dadah.

Anbalagan berkata, Rabu lalu pihaknya menerima laporan daripada seorang wanita yang menjadi mangsa samun dua lelaki bermotosikal di kawasan Pasar Sungai Ara kira-kira jam 1.30 petang.

Beliau berkata, mangsa yang menaiki motosikal bersendirian itu dihampiri suspek dari arah belakang sebelum salah seorang menarik beg tangannya dan akibat daripada kejadian itu mangsa terjatuh dari motosikal manakala suspek berjaya melarikan diri.

"Suspek tidak berjaya mendapatkan beg mangsa namun malangnya wanita itu mengalami kecederaan akibat terjatuh daripada motosikal.

"Kedua-dua suspek yang ditangkap kini direman selama tiga hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana mendatangkan cedera ketika melakukan rompakan," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!