Curi motosikal, dua remaja ditahan

Sebahagian komponen motosikal yang dirampas daripada rumah suspek, semalam.
Sebahagian komponen motosikal yang dirampas daripada rumah suspek, semalam.
A
A
A

KUALA KANGSAR - Polis menahan dua remaja lelaki yang dipercayai terlibat dalam kegiatan mencuri dan meleraikan komponen motosikal di sini, hari ini.

Ketua Polis Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, suspek berusia 15 dan 16 tahun itu ditahan menerusi Op Lejang di dua lokasi berbeza di Kota Lama Kanan di sini.

“Serbuan pertama pada jam 9.30 malam, semalam di sebuah rumah telah menahan suspek berusia 15 tahun dan merampas komponen motosikal yang telah dileraikan di rumah tersebut.

“Penahanan itu membawa kepada serbuan kedua di sebuah rumah dan menahan pula seorang pelajar tingkatan empat itu,” katanya.

Menurutnya, hasil semakan nombor casis dan nombor enjin adalah bersabit laporan kehilangan sebuah motosikal di masjid Kota Lama Kiri, Jumaat minggu lepas.

“Polis menemui semula rangka motosikal, rim, tangki minyak, absorber, ekzos, head block, fork depan dan set cover motosikal jenis Honda EX5.

“Suspek mengakui terlibat dalam satu kes sahaja setakat ini. Namun, kedua-dua mereka direman sehingga Selasa depan untuk siasatan mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan,” katanya.

Artikel Berkaitan: